Kerajaan Perlu Terus Berikan Tumpuan Dalam Memastikan Warga Emas Diutamakan Untuk Suntikan Vaksin Covid-19

Kadar kematian Covid-19 di Malaysia telah meningkat kepada paras yang membimbangkan. Pada minggu lalu, terdapat 363 kematian di Malaysia.

74% daripada jumlah kematian pada minggu lalu merupakan warga emas berumur 60 tahun & ke atas. Hal ini demikian kerana warga emas ialah golongan berisiko tinggi. Mereka berkemungkinan tinggi untuk sakit tenat sekiranya dijangkiti Covid-19.

Oleh itu, keutamaan telah diberi kepada warga emas dalam fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Kerajaan perlu menumpukan usaha untuk melengkapkan fasa ke-2 dengan segera bagi mengurangkan kadar kematian Covid-19 di Malaysia.

Pejabat saya telah menerima pelbagai pertanyaan dan keluhan daripada golongan warga emas yang telah mendaftar untuk vaksin Covid-19. Ramai di antara mereka rasa cemas kerana mereka masih lagi belum dihubungi untuk menerima suntikan vaksin. Berbeza dengan persepsi umum, bukan semua warga emas telah bersara atau mempunyai penanggung. Ramai di antara mereka masih lagi bekerja serta terdedah kepada virus ini setiap hari.

Tidak dapat dinafikan bahawa fasa ke-2 program imunisasi telah berjalan dengan sangat perlahan. Kerajaan telah berkali-kali mengatakan kelembapan proses ini berpunca daripada kelewatan dalam menerima bekalan vaksin.

Demi mendapatkan ketelusan, saya pihak kerajaan bagi memberikan maklumat yang terperinci mengenai:

(1) Berapa ramai jumlah rakyat yang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 adalah berumur 60 tahun dan ke atas;
(2) Berapa jumlah penerima vaksin adalah berumur 60 tahun dan ke atas; dan
(3) Apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan giliran penerima vaksin di fasa ke-2 di kalangan warga emas? (Contoh: mengikut peringkat umur, komorbiditi, tarikh pendaftaran, dll)

Kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan bekalan vaksin semasa diutamakan untuk golongan warga emas. Hal ini boleh dilaksanakan dengan beberapa cara.

Pertama, warga-warga emas di SEMUA negeri perlu diberi pilihan untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin AstraZeneca. Di saat ini, pilihan ini hanya terhad kepada penduduk di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Vaksin AstraZeneca telah dibuka untuk semua orang di negeri-negeri tersebut tanpa mengira usia dan profil risiko mereka. Hal ini bermakna kerajaan mengutamakan golongan lain di negeri-negeri tersebut berbanding dengan warga emas di negeri-negeri lain.

Kedua, senarai menunggu di pusat vaksinasi perlu mengutamakan warga emas. Berdasarkan pemahaman saya, sekiranya ada penerima yang tidak menghadirkan diri pada hari temu janji, pusat-pusat vaksinasi akan menghubungi penerima dalam senarai menunggu yang telah disediakan terlebih dahulu. Perkara ini adalah berpatutan bagi mengelakkan pembaziran vaksin yang telah disediakan pada hari yang sepatutnya.

Namun yang demikian, saya menyeru kerajaan untuk menjelaskan dasar berkenaan dengan mereka yang diutamakan dalam senarai menunggu. Langkah ini terdedah kepada penyalahgunaan jika tidak disemak (cth: potong barisan). Mengikut dasar imunisasi Covid-19 kebangsaan, warga emas harus diutamakan dan dimasukkan dalam senarai menunggu.

Ketiga, fasa ke-3 program imunisasi sepatutnya bermula pada Mei 2021. Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal vaksinasi, Khairy Jamaluddin, telah menyatakan bahawa fasa ke-3 akan ditangguhkan pada bulan Jun. Saya menyeru kerajaan untuk menvaksinkan semua warga emas yang sudah mendaftar sebelum memulakan fasa ke-3.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan perlulah melipat gandakan usaha untuk mendaftarkan lebih ramai warga emas untuk divaksinasi. Pejabat saya telah mengadakan program pendaftaran vaksin sejak dua bulan yang lepas dan kami mendapati kebanyakan warga emas mengalami kesukaran untuk mendaftarkan diri mereka sendiri.

Pada minggu lepas, Malaysian Residential Aged Care Operators (MyAgeCOpe), sebuah persatuan yang mewakili lebih 1,700 pusat penjagaan warga emas telah menyatakan kekecewaan terhadap tindak kerja kerajaan yang longlai. Kerajaan perlu bekerjasama dengan lebih erat bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan bagi meningkatkan kadar pendaftaran vaksin dalam kalangan warga emas.

Kesimpulannya, saya menyeru supaya pihak kerajaan fokus dan mematuhi dasar Imunisasi Covid-19 yang mengutamakan golongan warga emas.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka