Kerajaan Negeri Melaka harus menjelaskan mengapa dan bagaimana projek Melaka Gateway boleh berlangsung tanpa laporan EIA

Kenyataan Media
17 Ogos 2022

Kerajaan Negeri Melaka harus menjelaskan mengapa dan bagaimana projek Melaka Gateway boleh berlangsung tanpa laporan EIA

Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Alam Sekitar harus menghentikan projek Melaka Gateway dengan segera, sehinggalah siasatan penuh dan penjelasan dibuat mengenai status laporan impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.

Pada sesi parlimen yang lepas, saya telah mengemukakan soalan bertulis kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air di parlimen mengenai status laporan EIA projek Melaka Gateway, iaitu sama ada kelulusan telah diberikan dan tarikh kelulusan berkenaan.

Jawapan yang diberikan oleh Menteri (bertarikh 8 Ogos 2022) amat mengejutkan, di mana beliau menyatakan bahawa projek Melaka Gateway, di bawah syarikat KAJ Development Sdn Bhd, tidak pernah mengemukakan apa-apa laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar.

Kegagalan Melaka Gateway untuk mengemukakan laporan EIA adalah bertentangan dengan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 2012 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015. Laporan EIA perlu dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk sebarang projek yang melibatkan penebusgunaan tanah, khususnya yang melibatkan pulau buatan manusia ataupun yang melebihi 50 hektar. Sebarang projek tidak patut mula tanpa kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar.

Namun, projek Melaka Gateway telah dilancarkan pada tahun 2014 oleh mantan Perdana Menteri, Najib Razak, dan mantan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron. Perancangan projek tersebut melibatkan penambakan laut seluas 1,366 ekar di Selat Melaka. Kos pembangunan projek dianggarkan sekitar RM42 bilion, dan projek tersebut dijangka mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan, membawa 2.5 juta pelancong masuk setiap tahun, dan menjana RM1.19 trillion untuk ekonomi tempatan.

Hari ini, projek Melaka Gaterway bukan sahaja telah gagal mencapai maklamat-maklamat yang ditetapkan, malah telah merosakkan alam sekitar dan pesisir pantai negeri Melaka. Projek ini telah memberi kesan buruk kepada para nelayan di Bandar Hilir dan Duyong. Ia juga telah menjejaskan budaya kehidupan masyarakat Kristang di Perkampungan Portugis. Projek Melaka Gateway, bersama dengan projek-projek tambakan laut lain, telah mengakibatkan hakisan pesisir pantai dan menjejaskan sistem saliran, lalu menyebabkan banjir kilat lebih kerap berlaku.

Kerajaan Negeri Melaka has menjelaskan bagaimana projek sebesar ini dibenarkan berlangsung walaupun laporan EIA belum dikemukakan dan diluluskan. Baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengembalikan projek ini kepada pihak pemaju walaupun kontrak tersebut telah dibatalkan pada tahun 2020. Ketidaktelusan projek ini telah menjejaskan integriti dan keyakinan terhadapnya.

Saya akan berbincang dengan penduduk tempatan dan beberapa peguam untuk menentukan sama ada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kes ini. Kesejahteraan rakyat dan alam sekitar Melaka seharusnya diberi keutamaan, bukannya projek-projek mega yang tidak mapan.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka