Kebelakangan ini saya mendapati ramai warga emas dari kawasan Kota Melaka telah diberi temu janji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berjauhan, walaupun terdapat PPV yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka.
Sepertimana yang boleh dilihat di jadual dan peta di berikut, Kota Melaka mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi di Melaka. Namun, hanya 2 PPV awam yang telah beroperasi di kawasan tersebut. Selain itu, PPV di kawasan bandar, iaitu PPV Dewan Hang Tuah telah mula mengalami kesesakan.
Kesannya, kadar pemvaksinan di amat lamba dan ramai warga emas yang dihantar ke PPV berjauhan seperti di Sungai Udang dan Tanjung Minyak.
Sebagai contoh, hari ini terdapat seorang warga emas yang tinggal di Pengkalan Rama telah menerima janji temu beliau. PPV yang terdekat dengan rumah beliau adalah PPV Dewan Hang Tuah [1], iaitu kurang daripada 1km sahaja. Jalan kaki pun boleh sampai.
Namun, beliau telah dihantar pergi ke PPV Japerun Sungai Udang [5] yang terletak sejauh 15km. Beliau tidak mempunyai pengangkutan dan hampir membatalkan temu janji tersebut. Jadi hari ini saya telah membantu membawa beliau ke PPV tersebut.
Oleh itu, saya memohon pertimbangan dan tindakan daripada pihak kerajaan untuk meningkatkan jumlah PPV di kawasan Kota Melaka.
Dengan ini saya menyertakan beberapa cadangan seperti berikut:
(1) Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat untuk menubuhkan dua lagi PPV di kawasan Kota Melaka. Untuk makluman YB Menteri, beberapa pertubuhan di kawasan Kota Melaka telah menghubungi saya dan menyatakan kesediaan mereka untuk membantu secara percuma. Maka untuk tujuan ini, saya menawarkan perkhidmatan pejabat saya untuk mengkordinasikan tempat, logistik, dan sukarelawan untuk pengoperasian dua PPV baharu tersebut.
(2) Meningkatkan jumlah pemvaksinan di hospital swasta yang sedang beroperasi sebagai PPV. Tinjauan saya menunjukkan hospital-hospital swasta telah menjalankan tugas sebagai PPV dengan baik dan mempunyai kapasiti untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin.
(3) Meningkatkan jumlah klinik swasta (GP) di kawasan Kota Melaka yang membantu dalam vaksinasi.
Untuk tujuan ini, saya telah menulis sepucuk surat kepada Menteri Kesihatan dan Menteri MOSTI untuk perhatian mereka. Harap isu ini boleh diperbaiki dalam masa terdekat.

