Untuk tahun 2019, sejumlah 37 surau dan masjid di Kota Melaka telah menerima sumbangan daripada ahli parlimen kawasan tersebut, YB Khoo Poay Tiong.
Pengumuman itu dibuat oleh YB Khoo ketika membentangkan laporan perbelanjaan pusat khidmat beliau.
“Kebanyakan sumbangan tersebut diberikan kepada surau dan masjid ketika bulan Ramadhan untuk menjalankan aktiviti masing-masing.
“Jumlah sumbangan untuk masjid dan surau untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM204,906,” ulas beliau.
Antara masjid yang telah menerima sumbangan tersebut ialah Masjid Imam Ghazali Bakar, Masjid Al Faizin Bertam Malim, Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Masjid Selat Melaka, dan Masjid Al Hidayah Batu Berendam.
“Selain itu, peruntukan sebanyak RM30,000 telah diberikan kepada Masjid Al-Ehsan, Limbongan, pada bulan Mei untuk membiayai sebahagian kos membaikpulih ruang utama solat yang telah diserang anai-anai.
“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat menjadikan ruang solat di Masjid Al-Ehsan lebih selamat dan selesa kepada semua,” kata YB Khoo.
Pemberian bantuan kepada masjid dan umat Islam bukan asing kepada YB Khoo. Beliau menjelaskan bahawa peruntukan disalurkan secara adil dan berkadar kepada semua kaum dan agama di Kota Melaka untuk menjalankan aktiviti masing-masing.

