Sejumlah 21 projek telah dijalankan untuk membaikpulih dan memperbaiki jalan raya, sistem perparitan, dan longkang di kawasan parlimen Kota Melaka.
Projek-projek ini diperuntukkan oleh ahli parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong, melalui pusat khidmat beliau.
“Kita sedia maklum bahawa banjir kilat merupakan salah satu masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Kota Melaka. Ini disebabkan oleh infrastruktur yang sudah terlalu lama.
“Oleh itu, saya telah memperuntukan RM1.7 juta sepanjang tahun 2019 untuk menjalankan 21 projek infrastruktur banjir. Ini bersamaan dengan 50% daripada perbelanjaan keseluruhan peruntukan saya.
Projek-projek melibatkan kerja-kerja membaikpulih dan memperbaiki jalan raya, sistem perparitan, dan longkang,” jelas beliau.
YB Khoo juga berkata bahawa peruntukan ini berperanan sebagai pelengkap kepada rancangan pembangunan kerajaan.
“Projek-projek ini dijalankan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk banjir seperti di Taman Merdeka, persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz Kota Laksamana, Kampung Balai Panjang, dan Tengkera Pantai.
“Ini membolehkan masalah dan keperluan rakyat setempat diselesaikan secara berkesan dan cekap,” ulas YB Khoo.
Dalam pembentangan belanjawan negeri Melaka 2020 yang lepas, Ketua Menteri YAB Adly Zahari turut menyatakan bahawa projek tebatan bajir sedang dijalankan sebagai penyelesaian jangka panjang masalah banjir.
Projek tebatan banjir tersebut berjumlah RM289 juta dan melibatkan kawasan Sungai Duyong, Bandar Jasin, Bandar Alor Gajah, dan Bandar Merlimau. Projek-projek ini dijangka siap menjelang tahun 2022.
Senarai 21 projek infrastruktur banjir di kawasan Kota Melaka
| No. | Kawasan | Projek |
| 1 | Bachang (Kampung Enam) | Menambahbaik struktur Perangkap Sampah Dan Kerja-Kerja Berkaiatan Di Rumah Pam |
| 2 | Jalan Batu Berendam | Kerja Membaiki Longkang Rosak Dan Kerja-Kerja Berkaitan |
| 3 | Jalan Kampung Semabok Dalam | Kerja-Kerja Pemasangan Longkang Konkrit Serta Kerja-Kerja Berkaitan |
| 4 | Jalan Limbongan | Menaiktaraf Pembentung Dan Kerja Berkaitan |
| 5 | Jalan Mohd Zain (Taman Padang Balang) | Kerja Menaiktaraf Longkang & Kerja-Kerja Berkaitan |
| 6 | Jalan Syed Abdul Aziz Kota Laksamana (Simpang Faithview) | Kerja-Kerja Membaikpulih Sistem Perparitan Dan Aras Persimpangan |
| 7 | Kampung Balai Panjang | Kerja-Kerja Menaiktaraf Longkang Dan Kerja Berkaitan |
| 8 | Kampung Balai Panjang | Kerja-Kerja Menurap Semula Jalan Serta Kerja-Kerja Berkaitan |
| 9 | Kampung Balai Panjang (Lorong 5) | Naiktaraf Longkang |
| 10 | Kampung Balai Panjang (Lorong Wahab) | Kerja-Kerja Menurap Semula Jalan Serta Kerja-Kerja Berkaitan |
| 11 | Kampung Tengkera Pantai | Kerja-Kerja Penyenggaraan Sistem Perparitan |
| 12 | Kampung Bkt Pegoh | Menurap Kawasan Bangunan Darul Sunnah |
| 13 | Kampung Padang Temu | kerja-Kerja Naiktaraf Dan Lain Lain Kerja Berkaitan |
| 14 | Durian Daun (Lorong HJ Samad) | Kerja-Kerja Menurap Semula Jalan Serta Kerja-Kerja Berkaitan |
| 15 | Kesidang (Lorong Keluarga Yok Bin Mamat) | Kerja-Kerja Menurap Semula Jalan Serta Kerja-Kerja Berkaitan |
| 16 | Pengkalan Rama Tengah | Kerja-Kerja Menaiktaraf Longkang Dan Kerja Berkaitan |
| 17 | Pengkalan Rama Tengah | Pemasangan Pam Selam Elektrik Dan Lain-Lain Kerja Yang Berkaitan Bagi Mengurangkan Risiko Banjir |
| 18 | Pengkalan Rama Tengah | Kerja-kerja Penyelenggaraan Jalan Serta Kerja-Kerja Berkaitan |
| 19 | Malim (SJKC Malim) | Meninggikan Dinding Longkang Dan Menurap Tanah |
| 20 | Taman Melaka Baru | Menaiktaraf Longkang Dan Kerja-Kerja Berkaitan |
| 21 | Taman Merdeka (Jalan Tembusu 4,6,8,10) | Kerja Menaiktaraf Longkang & Kerja-Kerja Berkaitan |


