INTERN DESK | Pada 2 Ogos yang sepatutnya menjadi hari terakhir sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu-isu semasa, negara digemparkan dengan tindakan perarakan dari Dataran Merdeka dan cubaan memasuki parlimen oleh seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang. Dalam perarakan yang berlaku, kesemua ahli Parlimen pembangkang dari DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), WARISAN, Parti Sarawak Bersatu dan UPKO telah menggesa Perdana Menteri dan kabinet untuk bertanggungjawab serta meletakkan jawatan dalam kadar segera. Sebelum melihat isu ini dengan lebih mendalam, adalah penting untuk menilai punca kepada kemelut ini. Kekalutan ini bermula apabila kesemua jalan masuk ke Parlimen telah disekat dan ditutup oleh pihak polis, menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang tidak dapat memasuki Parlimen. Tindakan inilah yang mendorong Ahli Parlimen pembangkang berkumpul dan melakukan perarakan bagi tujuan memasuki Parlimen. Tetapi adakah wajar perarakan tersebut diadakan? Untuk menjawab soalan ini dengan lebih baik, dua persoalan perlu dinilai iaitu Penutupan Parlimen serta Perjuangan prinsip demokrasi oleh pihak oposisi. Malah, usaha untuk mengatasi pergolakan politik ini juga boleh dibincangkan.
Penutupan Parlimen
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan menangguh Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendapat persidangan tersebut boleh menyumbang kepada penularan jangkitan COVID-19. Keputusan ini diambil kerajaan ekoran berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 hasil dari empat hari Parlimen bersidang iaitu bermula 26 Julai hingga 1 Ogos 2021. Walaupun jumlah kes positif COVID-19 yang dikesan di Parlimen adalah sebanyak 0.8 peratus sahaja, tetapi dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, KKM berpendapat persidangan Parlimen sebagai perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan COVID-19. Dalam situasi ini, kerajaan PN jelasnya mempunyai asas yang kukuh serta kewajaran untuk menangguhkan Mesyuarat Khas Parlimen.
Perjuangan Prinsip Demokrasi Oleh Pihak Oposisi
Perlu difahami bahawa perarakan dan perhimpun beramai-ramai yang dilakukan oleh pihak pembangkang juga memiliki satu fundamental yang kukuh. Hal ini kerana dari sisi pembangkang, institusi demokrasi di Malaysia seakan-akan ‘dipermainkan’ oleh pihak kerajaan, terutamanya apabila Parlimen ditutup dan tidak diteruskan seperti mana yang dijanjikan. Berhubung dengan pembukaan parlimen, Yang di Pertuan Agong (YDPA) sebelum ini telah membenarkan Dewan Rakyat dibuka selama lima hari mulai 29 Julai hingga 2 Ogos 2021 bagi membahaskan ordinan darurat serta Pelan Pemulihan Negara. Namun, apabila kerajaan PN bertindak menutup Parlimen dengan alasan COVID-19 dan pelbagai lagi alasan-alasan teknikal, maka pihak pembangkang melihat ianya sebagai agenda kerajaan untuk mengelak dari prinsip ketelusan dan semak imbang. Malah, tindakan ini juga dilihat mencemarkan kesucian institusi Parlimen serta melanggar saranan YDPA yang menggesa agar perbahasan diadakan.
Dari perspektif lain, penutupan Parlimen dikaitkan dengan persoalan keabsahan kerajaan PN, terutamanya selepas beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam Parlimen dilihat bertujuan menyekat usul tidak percaya terhadap Muhyiddin daripada dibentangkan. Timbul keraguan mengenai jumlah undi atau kerusi yang dimiliki Perdana Menteri. Dalam erti kata lain, kemungkinan Parlimen ditangguhkan kerana jumlah undi yang dimiliki oleh Muhyiddin mungkin sudah berkurang atau tidak mencukupi untuk PN kekal sebagai kerajaan. Dari sudut pandang demokrasi pula, usaha yang dilakukan oleh Ahli Parlimen pembangkang ini sebenarnya merupakan peranan baik yang dilakukan oleh mereka sebagai pembangkang. Hal ini kerana adalah menjadi tugas bagi pembangkang untuk mengimbangi tindak tanduk kerajaan terutamanya apabila kerajaan mula dilihat melanggar prinsip demokrasi dan perlembagaan negara. Sekiranya bukan Ahli Parlimen pembangkang yang melakukan perhimpunan ini, adalah tidak mungkin dan relevan ianya dilakukan oleh rakyat atau penyokong parti. Usaha yang dilakukan ini jelas menunjukkan bahawa Ahli Parlimen pembangkang jelas dengan tanggungjawab mereka.
Mencari jalan keluar
Dalam situasi seperti ini, kerajaan PN sebenarnya tidak mempunyai kestabilan yang kukuh dan bila-bila masa sahaja kerajaan ini berkemungkinan akan tumbang. Sekiranya PN tumbang, sudah tentu pihak oposisi, yakni PH yang akan menggantikan kerajaan. Malah, tidak menolak kemungkinan sekiranya pihak oposisi diberikan peluang untuk menerajui kerajaan, beberapa Ahli Parlimen yang sedang menyokong Muhyiddin kini akan beralih sokongan kepada PH. Menelusuri situasi sekiranya kerajaan PN tumbang, adakah Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan? Dalam tempoh terdekat ini, PRU tidak mungkin diadakan kerana masalah COVID-19 masih lagi belum menampakkan tanda-tanda untuk reda. Justeru, terdapat dua cara untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.
Pertamanya, sama seperti pembentukan kerajaan PN iaitu melalui pencalonan nama Ahli Parlimen yang diyakini mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendapat perkenan YDPA. Keduanya, menerusi pembentukan kerajaan perpaduan yang bersifat sementara dengan diterajui oleh parti politik yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen. Dalam situasi ini, kerajaan perpaduan akan mentadbir negara sehingga jumlah kes COVID-19 berada pada tahap yang rendah dan herd immunity berjaya dicapai (dijangka selama enam bulan atau setahun, atau sehingga tamat tempoh penggal Parlimen memandangkan pemberian vaksin kini dilihat sedang giat dilakukan). Apabila kedua-dua ini berjaya dicapai, maka barulah mandat dipulangkan semula kepada rakyat.
Nadhrah Azrun
Intern (August 2021)

