PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan status siasatan dan tindakan yang telah diambil dalam kes kumpulan jenayah Geng Nicky, termasuk jumlah orang yang telah ditahan dan didakwa, aset yang disita, dan sama ada lokasi dalang kumpulan tersebut telah dikesan.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Terdapat tiga (3) kertas siasatan telah dibuka oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes suspek yang dinyatakan tersebut serta beberapa orang anggota polis yang didakwa terlibat dengan kes ini. Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 130V – 130ZB Kanun Keseksaan iaitu jenayah terancang.
Bagi siasatan pertama, seramai 48 orang ahli sindiket dan 3 anggota penguatkuasa telah ditangkap untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan telah membawa pertuduhan ke atas 18 orang individu pada 9 April 2021 di bawah seksyen 130V dan 130W Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menganggotai kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan jenayah terancang. Walau bagaimanapun, pada 30 September 2021 kes telah diputuskan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan). Kes masih dalam siasatan lanjut dan tindakan susulan berdasarkan pandangan lanjut Jabatan Peguam Negara.
Siasatan kedua juga disiasat di bawah Seksyen 130V – 130ZB Kanun Keseksaan. Seramai sembilan (9) orang pegawai penguatkuasa yang merupakan pegawai polis telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Siasatan ketiga adalah kes melibatkan Op Pelican 3.0 “Geng Nicky”. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 iaitu kesalahan terlibat dengan penggubahan wang haram. Seorang suspek telah ditahan untuk siasatan. Setakat ini, kertas siasatan berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 26 Julai 2021 bagi tujuan nasihat dan pandangan untuk tindakan selanjutnya.
Yang Berhomat, suspek utama kes ini juga sedang dikesan oleh pihak PDRM dan memandangkan kesemua kes masih belum selesai, Kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lanjut bagi tidak mengganggu siasatan dan proses perundangan.

