PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
(a) tahap kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menganjurkan pilihan raya dalam situasi endemik COVID-19, termasuklah langkah-langkah persediaan yang telah diambil; dan
(b) adakah SPR bercadang meluaskan undi pos atau undi awal untuk mengurangkan pergerakan merentas negeri, khususnya untuk pengundi Sabah dan Sarawak.
JAWAPAN
YB DATO SRI DR. HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (PARLIMEN DAN UNDANG-UNDANG)
Tuan Yang di-Pertua,
(a) Persediaan Menjalankan Pilihan Raya Dalam Tempoh Endemik Covid-19
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian penjalanan pilihan raya tersebut berjalan dengan lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca COVID-19.
SPR telah membuat persediaan dan perancangan yang menyeluruh meliputi aspek seperti keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia, latihan kepada petugas, Garis Panduan COVID-19 bagi Pelaksanaan Pilihan Raya dan juga aspek-aspek lain yang berkaitan.
SPR dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti dan merangka penambahbaikan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) yang baharu di mana isu kesihatan dan keselamatan dalam pelaksanaan pilihan raya menjadi keutamaan dengan mengambil kira situasi COVID-19 pada ketika ini. Garis panduan ini akan disesuaikan selaras dengan Fasa Pelan Pemulihan Negara dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan semasa di bawah Akta 342.
SPR akan mengumumkan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 berkenaan setelah penelitian bersama pihak MKN dan KKM mengenai pelaksanaan serta penguatkuasaannya selesai dan dimuktamadkan.
(b) Undi Pos
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan salah satu kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih ialah bermastautin dalam manaRaya. Bagi maksud tersebut, SPR menentukan mana Bahagian Pilihan Bahagian Pilihan Raya seseorang pemilih berdasarkan kepada alamat pemastautin pemilih seperti di kad pengenalan dan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.
Pada masa ini SPR tidak bercadang untuk memperluaskan kemudahan undi pos atau undi awal bagi pemilih yang berada di luar bahagian pilihan raya. Bagi pengundi-pengundi di negeri Sabah dan Sarawak yang bermastautin di semenanjung Malaysia, SPR menggalakkan pengundi untuk memohon pertukaran Bahagian Pilihan Raya berdasarkan tempat bermastautin terkini bagi memudahkan urusan pengundian bagi suatu pilihan raya umum atau kecil .
Sekian, terima kasih.

