Pagi ini saya telah menyertai acara Melaka Smart River Programme yang dianjurkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka – UTeM.
UTeM merupakan salah satu daripada empat universiti teknikal yang ada di Malaysia, dan kami amat bertuah kerana UTeM bertempat di Melaka.
Ada beberapa perkara menarik di program Smart River Melaka pagi ini.
Program ini diadakah di persekitaran Sungai Melaka Fasa 2. Tempat tersebut, dan sungai Melaka secara amnya, memang merupakan tempat yang amat cantik dan sesuai untuk aktiviti rekreasi.
Pelajar-pelajar UTeM telah mendemostrasikan hasil rekaan mereka. Antaranya ialah Hydrobike, iaitu seperti basikal untuk sungai. Hydrobike ini bukan sahaja boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi, tetapi ia juga dilengkapi dengan sensor-sensor untuk mengesan pencemaran air.

Terdapat juga pertandingan di mana robot-robot air direka untuk memungut sampah-sarap di dalam sungai. Pada akhir acara tersebut, jumlah sampah yang terkutip oleh semua robot dan hydrobike adalah melebihi 200kg! Acara ini turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah rendah.
Saya mengucapkan tahniah kepada UTeM atas penganjuran program ini, terutamanya kepada para pelajar dan pensyarah yang telah menunjukkan semangat yang tinggi.
Saya melihat bahawa di Melaka sememangnya terdapat bakat dan minat yang tinggi. Oleh itu, pejabat saya sentiasa bersedia untuk menyokong dan menyumbang kepada program-program sedemikian.


