Dalam beberapa hari ini pejabat saya telah menerima aduan daripada warga emas mengenai janji temu pemvaksinan mereka.
Aduan mereka adalah kerana diminta untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berjauhan walaupun terdapat PPV yang lebih dekat dengan mereka.
Contohnya, terdapat seorang warga emas yang tinggal di Jalan Tun Sri Lanang, tetapi telah diminta untuk pergi ke PPV di Sungai Udang yang sejauh 22km. Namun, terdapat sebuah PPV yang lebih dekat dengan beliau, iaitu PPV di Dewan Hang Tuah yang terletak 1km daripada rumah beliau.
Masalah ini adalah antara satu sebabnya mengapa terdapat warga emas yang tidak dapat hadir untuk janji temu mereka kerana ada yang tinggal berseorangan dan tiada pengangkutan.
Saya tidak pasti apakah kaedah yang digunakan oleh sistem MySejahtera untuk menetapkan janji temu. Kemungkinan ia dilakukan secara automatik melalui komputer mengikut kriteria-kriteria tertentu, ataupun ia dikendalikan oleh pegawai bukan tempatan.
Cadangan saya adalah supaya sistem ini diperbaiki supaya warga emas boleh diperuntukkan PPV yang paling dekat dengan rumah mereka. Adalah lebih baik jika sistem MySejahtera boleh memberi pilihan kepada warga emas untuk memilih PPV yang paling sesuai untuk mereka. Jika warga emas yang terkesan perlu mengemukakan penukaran melalui sistem MySejahtera, permohonan tersebut hendaklah dikemaskini dalam tempoh 7 hari.

