MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KELIMA
MESYUARAT KEDUA
Selasa, 2 Ogos 2022
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor) mempengerusikan Mesyuarat]
Rangkaian Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan pada petang ini dari Kota Melaka ialah ‘Rangkaian Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia’.
Tuan Yang di-Pertua, Usul saya adalah berkaitan dengan kenderaan elektrik ataupun yang lebih dikenali sebagai Electronic Vehicle (EV). Umum diketahui bahawa industri EV merupakan industri berpotensi tinggi yang sedang pesat berkembang sama ada daripada segi penggunaan atau pembangunan teknologi.
Dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah menawarkan pelbagai insentif untuk menggalakkan peralihan kepada EV, seperti pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan. Saya dimaklumkan bahawa tempahan EV pada tahun ini sahaja telah melebihi jumlah tempahan untuk tiga tahun yang lalu. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan menunjukkan bahawa insentif di bawah Belanjawan 2022 adalah amat berkesan.
Maka, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon statistik daripada pihak kementerian, mengenai jumlah penggunaan kereta EV di Malaysia untuk tahun 2020 sehingga 2022, supaya kita dapat memahami situasi semasa dengan lebih berkesan.
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya isu pokok yang ingin saya bangkitkan hari ini adalah berkaitan dengan infrastruktur stesen pengecas EV di Malaysia. Memandangkan kadar penggunaan EV telah pun meningkat, rangkaian stesen pengecas perlu dibangunkan dengan segera.
Pada bulan Jun yang lepas, saya telah berjumpa dengan beberapa pengguna EV di Melaka. Mereka menyatakan antara cabaran utama pengguna EV adalah kekurangan stesen pengecas, khususnya jenis DC yang lebih pantas. Sebagai contoh, di negeri Melaka terdapat hanya dua buah stesen pengecas DC yang disediakan oleh pihak swasta. Bagi stesen pengecas AC pula, ia tidak praktikal kerana mengambil masa 2-3 jam untuk mengecas kereta.
Maka, saya memohon maklumat terkini daripada pihak kerajaan mengenai jumlah stesen pengecas dan jika boleh, dikategorikan antara jenis AC dan DC dan juga mengikut negeri. Selain itu, saya juga ingin mengutarakan beberapa cadangan untuk memangkinkan rangkaian pengecas EV di Malaysia:
(i) kerajaan boleh memberi insentif kepada pihak swasta untuk menyediakan stesen pengecas di premis mereka kerana terdapat banyak syarikat swasta yang berminat, tetapi kebolehlaksanaan kewangan (financial feasibility) masih kurang memuaskan. Insentif sepertimana yang disediakan untuk pemasangan panel solar boleh diperluaskan kepada stesen pengecas EV. Ini termasuklah potongan cukai, geran dan pinjaman berfaedah rendah;
(ii) kerajaan perlu menggubal peraturan baharu supaya pengendali stesen pengecas boleh menjual mengikut unit kW. Buat masa sekarang, mereka hanya boleh menjual mengikut tempoh masa mengecas kerana penjualan elektrik adalah terkawal. Ini membawa kepada pelbagai kesusahan kerana stesen pengecas dan kenderaan EV mempunyai kapasiti pengecasan berlainan; dan
(iii) kerajaan boleh menerajui melalui teladan dengan menyediakan stesen pengecas DC di bangunan-bangunan kerajaan. Selain daripada itu kerajaan juga boleh menetapkan dasar supaya penggantian kereta kerajaan hendaklah dengan kereta jenis EV.
Sekian, terima kasih dan saya memohon maklum balas daripada kerajaan. Terima kasih.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi [Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim]: Terima kasih di atas soalan Yang Berhormat Kota Melaka, Tuan Khoo Poay Tiong. Saya rasa ada sedikit pembetulan Yang Berhormat, tadi merujuk kepada ‘EV’ sebagai ‘Electronic Vehicle’ tetapi sebenarnya ‘Electric Vehicle’. Saya rasa boleh dibetulkan.
Tuan Yang di-Pertua, antara fokus utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi tahun 2022 adalah pembangunan teknologi Kenderaan Elektrik (EV) yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV terutamanya kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan pengusaha tempatan. Melalui Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, terdapat beberapa langkah digariskan bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran dan pemasangan EV, seperti:
(i) pembuatan komponen kritikal;
(ii) penetapan standard bagi menyokong ekosistem EV;
(iii) menggalakkan aktiviti R&D untuk membangunkan teknologi tempatan melalui program bina upaya; dan
(iv) pembangunan pusat-pusat pengujian.
Selain itu, kerajaan juga menawarkan bantuan dan sokongan bukan fiskal dalam bentuk program pembangunan vendor seperti:
(i) bantuan teknikal dan perundingan bagi meningkatkan kompetensi pembekal automotif tempatan di bawah Malaysia Automotive, Robotics dan IoT Institute (MARii); dan
(ii) menaik taraf keupayaan pusat kecemerlangan seperti Design Centre dan Academy of Technology yang berpusat di Rawang, Selangor. Pusat ini berperanan meningkatkan keupayaan kejuruteraan tempatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengujian dan pembangunan teknologi tempatan.
Daripada segi insentif, MOSTI menyokong cadangan pengenalan inisiatif baharu oleh MITI dan Kementerian Kewangan dalam Bajet 2020 bagi membangunkan industri EV merangkumi aspek pengecualian cukai, pemberian insentif dan penggunaan EV. Insentif cukai diberikan kepada:
(i) aktiviti pemasangan atau pengilangan tempatan bagi kenderaan dan komponen EV; dan
(ii) perkhidmatan teknologi hijau (green services).
Perkhidmatan teknologi hijau (green services) melibatkan pemasangan, penyelenggaraan, pembaikan peralatan pengecasan EV serta infrastruktur kitar semula bersepadu. Berdasarkan rekod MITI sehingga bulan Mac 2022, sebanyak 111 projek telah diluluskan berkaitan dengan pembuatan dan pemasangan kenderaan elektrik dan ekosistemnya termasuk komponen, alat ganti, automasi kilang dan bahan, bernilai RM62.4 bilion.
Sebagai contoh, syarikat dari Sweden iaitu Volvo Car Malaysia telah melabur di Malaysia bagi menjalankan aktiviti memasang kenderaan elektrik di Malaysia. Untuk syarikat tempatan, terdapat dua buah syarikat yang terlibat dalam sektor ekosistem EV iaitu:
(i) Syarikat Eclimo yang mengeluarkan beberapa model motosikal berkuasa elektrik termasuk model ES-11 yang telah dibangunkan bersama sebuah agensi di bawah MOSTI iaitu NanoMalaysia Berhad yang menggunakan sistem pemantauan bateri berstruktur nano yang pertama di Malaysia; dan
(ii) Syarikat Genetec Technology Berhad yang mengeluarkan mesin automasi kilang bagi pengeluaran sel dan pek bateri.
Dalam hal ini, insentif R&D bagi pembangunan teknologi bateri dan penggunaan semula bateri terpakai harus digalakkan untuk mengatasi isu kos yang tinggi bagi penggantian bateri baharu EV atau hibrid, selaras dengan sasaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040.
Kerajaan menerusi MOSTI juga menyediakan geran untuk dijalankan R&D bagi menyokong industri EV tempatan. Setakat ini, MOSTI telah menyalurkan dana berjumlah RM62.89 juta bagi membiayai sepuluh projek berkaitan Kenderaan Elektrik (EV).
Dalam Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan pakej insentif cukai EV. Bukan sahaja kepada pengeluar kenderaan dan komponen (OEM), malah, merangkumi insentif kepada pengguna (demand side) bagi menggalakkan pelaburan dan penggunaan EV di dalam negara.
Insentif ini merangkumi pengecualian duti import dan eksais untuk EV jenis Completely Built-Up (CBU) sehingga 31 Disember 2023. Manakala EV jenis Completely Knocked Down (CKD) sehingga 31 Disember 2025. Sebagai tambahan, EV juga dikecualikan cukai jalan sehingga 31 Disember 2025.
Oleh yang demikian, menurut data yang diperoleh daripada Kementerian Pengangkutan, statistik jumlah kenderaan EV dalam negara sehingga bulan Jun 2022 adalah sebanyak 9,639 buah kenderaan berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 7,283 buah kenderaan EV. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 32.3 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun 2020.
Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan juga mengambil berat terhadap isu Yang Berhormat bangkitkan tentang isu kekurangan infrastruktur stesen pengecas EV di Malaysia.
Pada masa ini, MOSTI turut menganggotai Electric Vehicle (EV) Taskforce di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Di bawah jawatankuasa ini, pelbagai aspek diberi tumpuan iaitu:
(i) pembangunan industri EV;
(ii) penambahbaikan kepada strategi sedia ada; dan
(iii) strategi baharu untuk memperkukuh industri EV di Malaysia.
Melalui Jawatankuasa ini juga, pelbagai dokumen dasar dan strategi berkaitan EV dapat diselaraskan dan dilaksanakan secara holistik, terutamanya berkaitan:
(i) penggunaan EV;
(ii) pembangunan infrastruktur;
(iii) pembangunan modal insan; dan
(iv) pelaburan dalam ekosistem EV Malaysia.
Melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memperkenalkan Electric Mobility Blueprint (EMB) pada tahun 2015 dan LowCarbon Mobility Blueprint (2021-2030).
Antara inisiatif yang telah digariskan di bawah blueprint tersebut adalah penetapan sasaran nasional iaitu kira-kira 10,000 unit pengecas EV menjelang tahun 2025 di seluruh negara.
Setakat 26 Julai 2022, MGTC melaporkan sejumlah 707 unit stesen pengecas EV telah dibangunkan di 384 buah lokasi terpilih dalam negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 651 unit atau 92 peratus adalah pengecas jenis AC (3.7 kilowatt – 22 kilowatt) manakala 56 unit atau lapan peratus adalah jenis DC (30 kilowatt – 360 kilowatt).
Berikut adalah bilangan stesen pengecas mengikut negeri-negeri di Malaysia, seperti mana yang diminta oleh Yang Berhormat:

Untuk Melaka ada tiga jenis DC. Tadi Yang Berhormat sebut, ada satu lagi ya. 3 DC dan 12 AC. Buat masa ini, tiada stesen pengecas EV di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan. Di peringkat MOSTI, sebuah agensi di bawah MOSTI iaitu NanoMalaysia Berhad yang bertanggungjawab untuk membangunkan teknologi Electric Vehicle (EV) kini sedang melaksanakan projek berdasarkan stesen pengecasan off-grid untuk kenderaan elektrik yang di bawah Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE).
Projek tersebut memfokuskan teknologi stesen pengecasan berdasarkan tenaga yang boleh diperbaharui menggunakan panel suria tenaga nano. NanoMalaysia juga sedang membangunkan projek stesen pengecasan tanpa wayar di bawah RMKe-12 iaitu Nanotech Remote Energy System (NREgS).
Selain itu, NanoMalaysia juga telah menandatang sebuah perjanjian MOU bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) untuk merangsang pembangunan industri Kenderaan Elektrik (EV) negara.
Di peringkat industri, PETRONAS telah bekerjasama dengan MGTC dan rakan kongsinya dalam membangunkan stesen pengecas kenderaan elektrik di beberapa stesen Petronas di lebuh raya utama Semenanjung Malaysia. Kemudahan stesen ChargEV yang ditawarkan secara percuma kepada pengguna merupakan antara inisiatif awal untuk menggalakkan pemilikan EV di Malaysia.
Walau bagaimanapun, ChargEV menyediakan rangkaian stesen pengecasan berdasarkan konsep langganan (RM240, setahun) untuk mengakses semua 61 stesen pengecasan ChargEV jenis Alternating Current (AC) yang terletak di seluruh negara tanpa had. Pecahan stesen pengecas ChargEV mengikut negeri adalah seperti berikut:

Selain Petronas dan ChargEV, stesen-stesen pengecas EV turut dibangunkan oleh operator seperti berikut:
(i) BMW i;
(ii) GoCar;
(iii) Jom Charge;
(iv) Shell Recharge;
(v) ParkEasy;
(vi) FlexiParking; dan
(vii) TNB.
Penyedia perkhidmatan berikut telah menyatakan hasrat untuk bersamasama membangunkan stesen pengecas EV:
(i) PEKEMA;
(ii) ABB;
(iii) Smart Selangor;
(iv) Xicom Power Solutions;
(v) KLCC;
(vi) Sime Darby;
(vii) Sunway;
(viii) Schneider Electric;
(ix) Gendang Kencana, dan lain-lain.
Tiga pendekatan strategi pembangunan infrastruktur pengecasan EV adalah menempatkan:
(i) pengecas EV pantas jenis DC di hentian R&R, stesenstesen minyak dan hentian rehat terpilih yang menghubungkan empat lebuh raya utama di seluruh negara iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Fasa 2 serta Lebuhraya Pan Borneo;
(ii) pengecas EV jenis AC di tempat letak kereta pusat-pusat membeli belah, hotel penginapan dan tempat tumpuan orang awam seperti lapangan terbang, bangunan pejabat, masjid ataupun rumah ibadat hijau, pusat persidangan, hospital dan kampus. Penetapan akan dibuat berhubung nisbah unit pengecas EV dengan bilangan petak meletak kenderaan; dan
(iii) pengecas EV jenis AC dan DC di sekitar banda raya dan kerajaan tempatan mengikut keperluan serta kepadatan kenderaan melalui sesi libat urus bersama pihak kerajaan tempatan.
Sesi libat urus akan diadakan bersama pihak-pihak berkenaan dan satu garis panduan bagi unit-unit pengecas EV jenis AC di kawasan rumah kediaman termasuk kediaman bertingkat seperti rumah flat, pangsapuri, kondominium dan townhouse akan dibangunkan.
Tuan Yang di-Pertua, MOSTI menyambut baik akan cadangan Yang Berhormat bagi memangkinkan rangkaian pengecas EV di Malaysia. Pihak MOSTI telah memanjangkan cadangan-cadangan ini kepada kementerian terlibat untuk tindakan penyelarasan selanjutnya.
Akhir sekali, semua langkah semasa yang sedang dalam pelaksanaan ini diharap akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan permintaan kenderaan EV dan pelaburan yang berkaitan.
Di samping itu, ia juga akan membantu merealisasikan sasaran Malaysia mencapai status negara neutral karbon menjelang tahun 2050 seperti disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Sekian, terima kasih.

