MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KELIMA
MESYUARAT KEDUA
Isnin, 1 Ogos 2022
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Timbalan Tuan Yang di-Pertua (Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor) mempengerusikan Mesyuarat]
Kriteria Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan Kamar Khas pada petang ini dari Kota Melaka ialah ‘Kriteria Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)’. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membawa satu kes berkaitan dengan permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) oleh seorang penduduk di kawasan saya iaitu Puan Chua.
Beliau merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Melaka dan berpendapatan lebih kurang RM4,000 sebulan. Oleh itu, beliau memang memenuhi syarat kelayakan bantuan BKM kerana berpendapatan kurang daripada RM5,000.
Sememangnya beliau telah menerima bantuan BKM pada tahun-tahun sebelum ini. Namun begitu, bantuan BKM beliau untuk tahun 2022 telah diberhentikan atas alasan memiliki kenderaan yang ‘melebihi had kemampuan bagi golongan berpendapatan rendah’.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman, kereta yang dimiliki beliau bukanlah kereta berjenama mewah seperti BMW atau Mercedes. Kereta beliau berjenama Honda City yang berumur 3 tahun. Ansuran bulanan pinjaman kereta adalah sekitar RM700 sebulan.
Pada pendapat saya, adalah tidak wajar jika kerajaan membuat andaian terhadap apa kereta yang wajar dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah bagi kelayakan BKM. Ini melibatkan moral judgement yang tidak elok kerana kita tidak mungkin tahu keadaan sebenar para pemohon.
Contohnya dalam kes ini, pemohon merupakan seorang ibu tunggal yang perlu menanggung kehidupan anak kecil dan dua orang ibu bapa yang sudah tua dan sakit. Kereta tersebut penting untuk keluarga beliau daripada segi keperluan harian dan keselamatan. Adakah ini dianggap ‘melebihi kemampuan golongan berpendapatan rendah’? Adakah kerajaan sedang menyampaikan mesej bahawa golongan B40 hanya layak memandu kereta lama buruk seperti Datsun 120Y atau motosikal?
Baru-baru ini juga ada sebuah video yang viral di laman TikTok, di mana seorang wanita mendakwa dirinya ditolak BKM walaupun dirinya sedang menghidap penyakit kanser tahap 4 hanya kerana memiliki kereta berspesifikasi 1.3 cc.
Tuan Yang di-Pertua, situasi hidup setiap keluarga B40 atau pemohon BKM adalah berbeza dan tidak mungkin bagi kita memberitahu mereka apa yang mereka sepatutnya mampu atau tidak. Oleh itu, kerajaan tidak wajar mengenakan syarat-syarat sebegini.
Pada pendapat saya, syarat pendapatan isi rumah adalah syarat asas yang mencukupi. Maka, saya memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan rayuan kes ini dan meluluskannya atas prinsip Keluarga Malaysia. Atas sebab privasi, nama dan maklumat beliau akan saya serahkan secara berasingan selepas sesi ini.
Selain itu, saya juga ingin memohon pencerahan daripada Yang Berhormat Menteri, supaya menyenaraikan semua kriteria kelayakan untuk BKM. Jelas bahawa kriteria kelayakan bukan sahaja dilihat kepada pendapatan bulanan, malah ada kriteria-kriteria lain seperti isu pemilikan kenderaan ini. Pada pendapat saya, penjelasan ini penting supaya para pemohon boleh mengetahui syarat-syarat yang telah ditetapkan secara terbuka. Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri Kewangan II [Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Ahli Parlimen Kota Melaka. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya memberi maklum balas kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Melaka, izinkan saya untuk memberikan sedikit maklumat mengenai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula dalam pasca-pandemik COVID-19 dan meringankan beban kos sara hidup.
Setakat ini, 8.6 juta orang penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada tahun 2022. Seperti mana diumumkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, BKM Fasa 2 telah ditambah baik dengan Bantuan Tunai Tambahan bernilai RM630 juta, dengan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8 bilion.
Ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat dengan harapan ia boleh merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan.
BKM juga merupakan bantuan tunai langsung yang tertinggi setakat ini dalam sejarah negara kita. Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 dan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,480.
Ini adalah peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan. Di samping itu, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta orang berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja. Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.
Mengambil kira 8.6 juta orang penerima BKM, empat juta orang penerima manfaat adalah daripada kategori isi rumah yang mempunyai pasangan. Ini menjadikan keseluruhan penerima manfaat BKM adalah seramai 12.6 juta individu bersamaan dengan 60 peratus populasi penduduk dewasa di Malaysia.
Pada dasarnya BKM hanya mensasarkan golongan B40 sahaja, hakikatnya pemberian BKM adalah merangkumi golongan B60 di Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Kewangan sentiasa bersikap terbuka dan syarat-syarat kelayakan utama BKM boleh didapati seperti yang tertera dalam portal https://bkm.hasil.gov.my untuk tatapan umum. Ada table yang akan saya kongsi nanti dengan Yang Berhormat Kota Melaka.
Untuk makluman Yang Berhormat Kota Melaka, dalam memastikan pelaksanaan BKM memanfaatkan golongan yang benar-benar layak sahaja, memang betul, kerajaan juga melihat aspek lain dalam menentu usaha status penerima BKM itu. Jadi, selain pemilikan kenderaan, antaranya kita juga menyemak status perkahwinan, pemilikan perniagaan dan pemilikan kediaman.
Tujuan utama semakan ini bukanlah dibuat sewenang-wenangnya oleh kita kerajaan, tetapi sebenarnya kita ingin pastikan setiap penerima BKM itu dinilai secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan nilai pendapatan semata-mata.
Ini juga selaras dengan amalan terbaik mengikut saranan Bank Dunia yang telah dinyatakan dalam Kertas Konsultasi Bajet 2022: Program Bantuan Tunai di samping tahap ketelusan yang tinggi dalam penentuan kelayakan penerima BKM.
Bagi mereka yang berstatus tidak lulus BKM, ruang dan peluang turut dibuka semasa tempoh rayuan BKM selama sebulan mulai 2 Mei 2022 hingga 2 Jun 2022 untuk permohonan mereka dibuat semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berdasarkan dokumen yang dikemukakan.
Merujuk kembali kepada pertanyaan Yang Berhormat Kota Melaka, semakan terperinci diperlukan bagi memastikan aduan yang diterima dapat diselesaikan secara khusus mengikut alasan tidak lulus permohonan berkenaan. Sehubungan itu, kami di Kementerian Kewangan mengalu-alukan Yang Berhormat Kota Melaka untuk mengemukakan nama dan nombor kad pengenalan Puan Chua bagi membolehkan semakan dan tindakan selanjutnya dapat diambil.
Kita juga ingin memberitahu di sini, Kementerian Kewangan sentiasa memantau from case-by-case basis, situasi semasa kerana bantuan tunai langsung mahupun yang tidak langsung seperti subsidi keperluan asas ini sebenarnya adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat kita akhirnya akan terbela. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

