MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KELIMA
MESYUARAT PERTAMA
Rabu, 9 Mac 2022
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Pertindihan Projek Tambakan Laut di Pekan Klebang dengan Kawasan Perlindungan Warisan
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan Kamar Khas petang ini adalah berbunyi ‘Pertindihan Projek Tambakan Laut di Pekan Klebang dengan Kawasan Perlindungan Warisan’. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merujuk kepada laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bertarikh 4 Oktober 2021 untuk projek Tambak Laut seluas 300 ekar di Pekan Klebang, seksyen 1, Bandar 44, daerah Melaka Tengah, Melaka.
Perkara ini dibangkitkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana projek tersebut berkait dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005. Menurut laporan EIA untuk projek tersebut yang bertarikh 4 Oktober 2021, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menyatakan bahawa sebahagian daripada kawasan tambakan yang dicadangkan iaitu seluas 75 ekar, adalah bertindih dengan kawasan yang telah diwartakan sebagai ‘Zon Yang Dilindungi’ di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Akan tetapi, laporan EIA tersebut juga menyatakan bahawa Pesuruhjaya Warisan JWN telah meluluskan laporan penilaian Impak Warisan. Ini bermakna projek tambakan laut itu boleh diteruskan walaupun bertindih dengan zon perlindungan. Saya memohon penjelasan daripada Menteri mengenai kelulusan ini. Pada pendapat saya, kawasan yang telah diwartakan sebagai zon perlindungan di bawah Akta Warisan Kebangsaan sepatutnya dipelihara kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi, apatah lagi membenarkan projek tambakan laut seluas 300 ekar yang akan merosakkan nilai warisan di kawasan tersebut.
Selain daripada itu, saya juga telah meneliti laporan EIA untuk projek tersebut dan mendapati beberapa perkara yang memerlukan penjelasan lanjut. Surat daripada Pesuruhjaya Warisan bertarikh 31 Mei 2021 kepada pihak pemaju jelas menyatakan bahawa pemaju perlu melaksanakan penelitian lanjut survey semula, rujuk kepada Perkara 3.1 berdasarkan perjumpaan awal laporan impak warisan. Namun, pihak pemaju tidak mematuhi arahan ini berdasarkan surat maklum balas mereka bertarikh 25 Jun 2021 dan tiada survey baharu yang telah dilaksanakan.
Selain daripada itu, surat daripada Pesuruhjaya Warisan bertarikh 6 September 2021, dengan jelas mengenakan beberapa syarat, iaitu sistem pemantauan ke atas impak hakisan perlu dinyatakan dan dimasukkan ke dalam laporan EIA rujuk kepada Perkara 3.3 dan Perkara 3.4. Namun, laporan EIA menyatakan bahawa “since no significant effects are identified, no mitigation actions are required”. Rujuk kepada muka surat 8 hingga 26 dan tidak melampirkan pelan pemantauan terhadap hakisan sepertimana yang disyaratkan oleh Pesuruhjaya Warisan.
Oleh itu, arahan dan syarat yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Warisan telah gagal dipatuhi oleh pihak pemaju, tetapi laporan EIA menyatakan kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara telah diperoleh. Saya memohon penjelasan Menteri dalam isu ini, khususnya sama ada MOTAC bersetuju memberi kelulusan untuk projek tambakan tersebut daripada segi impak kepada zon perlindungan warisan negara. Sekian, terima kasih.
Timbalan Menteri Pengangkutan [Dato’ Henry Sum Agong]: Tuan Yang diPertua, saya diminta oleh Yang Berhormat Menteri, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya untuk membaca jawapan yang disediakan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Melaka, Tuan Khoo Poay Tiong. Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, perairan Pulau Upeh dan Pulau Besar telah diisytiharkan sebagai ‘Zon Yang Dilindungi’ berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 255/2011.
Dalam isu penambakan laut seluas 300 ekar dalam Pekan Klebang, seksyen 1, Bandar 44, daerah Melaka Tengah, Melaka, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah membuat penilaian awal daripada segi impak warisan di lokasi yang dinyatakan.
Berdasarkan semakan laporan Heritage Impact Assestment (HIA) yang disediakan oleh pihak pemaju terhadap lokasi pembangunan yang dicadangkan, didapati seluas 75 ekar daripada keseluruhan 300 ekar cadangan tambakan telah memasuki Zon Yang Dilindungi di kawasan seperti tersebut di atas.
Laporan HIA telah dibentangkan kepada JWN oleh penyelidik arkeologi yang dilantik oleh pemaju pada 29 Januari 2021. Melalui surat bertarikh 6 September 2021, Pesuruhjaya Warisan memaklumkan menyokong dengan bersyarat terhadap Laporan HIA bagi permohonan tersebut tertakluk kepada pematuhan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum Pesuruhjaya Warisan memberikan keputusan muktamad terhadap permohonan ini. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penyediaan dan kelulusan bagi Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) adalah tertakluk di bawah Jabatan Alam Sekitar.
Pada 29 November 2021, JWN telah dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA atau EIA Technical Review Committee (EIATRC) yang diurusetiakan oleh Bahagian Penilaian, Jabatan Alam Sekitar berkaitan projek ini. Semasa mesyuarat tersebut, pihak JWN tidak menyatakan sebarang kelulusan dan turut membangkitkan perkara-perkara sama yang telah dimaklumkan kepada pemaju projek seperti dalam surat daripada Pesuruhjaya Warisan bertarikh 6 September 2021 iaitu:
(i) pemaju projek perlu mengemukakan semula laporan HIA yang telah dikemas kini berdasarkan ulasan yang dibuat oleh JWN;
(ii) perunding (consultant) perlu menyemak semula laporan untuk menyatakan lokasi tapak projek yang tepat dengan Zon Penampan dan Zon Tertiary Tapak Warisan Dunia Melaka; dan
(iii) perunding perlu menyatakan sistem pemantauan ke atas impak hakisan tanah dengan jelas.
Untuk makluman, laporan HIA yang dikemas kini oleh pihak perunding, melaporkan jumpaan arkeologi bawah air di dalam Zon Yang Dilindungi. Susulan daripada itu, pada 30 Disember 2021, JWN telah mengemukakan laporan ini kepada dua orang pakar arkeologi bawah air dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meneliti dan menilai semula laporan HIA yang telah dikemas kini itu. Pihak Pesuruhjaya Warisan sehingga kini masih menunggu semakan, pandangan dan syor daripada pakarpakar tersebut.
Laporan HIA dan hasil pandangan serta syor daripada pakar-pakar tersebut dijangka akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Warisan Kebangsaan pada akhir bulan Mac 2022 untuk dipertimbangkan. Penelitian mendalam dan pertimbangan Majlis Warisan Kebangsaan penting dalam memberikan justifikasi untuk ia menasihati Pesuruhjaya Warisan dan Yang Berhormat Menteri dalam membuat keputusan terhadap permohonan ini.
Justeru, ingin ditegaskan sekali lagi bahawa pihak Pesuruhjaya Warisan, belum mengambil dan memberi sebarang keputusan kepada pemaju projek tambakan laut di Zon Yang Dilindungi berkenaan. Semoga penjelasan b erkenaan perkara ini dapat menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat. Sekian, terima kasih.

