Beberapa hari yang lepas, terdapat berita bahawa seorang ibu ditahan polis. Dia ditahan kerana mencuri barang makanan dari pasar raya.
Namun, ibu tersebut terpaksa melakukannya kerana anaknya lapar. Keluarganya tiada wang untuk membeli makanan.
Demikianlah realiti dan kesusahan yang dihadapi rakyat ketika PKP ini. Ada ramai yang kehilangan punca pendapatan dan tidak mampu menyara keluarga.
Di Kota Melaka, saya berharap tidak ada keluarga akan kelaparan kerana makanan ialah perkara yang paling asas untuk semua.
Sebab itu kita telah memulakan program Food Bank Kota Melaka sejak tahun lepas, di mana kita menyumbang bakul makanan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan. Setakat ini kita telah dapat membantu sekitar seribu keluarga.
Kebanyakan pemohon yang kita temui memang menghadapi kesusahan. Ada yang kehilangan kerja, ada ibu tunggal dengan anak-anak kecil, dan ada yang terpaksa tutup kedai kerana PKP.
Harapan saya ialah kita dapat bantu-membantu di peringkat masyarakat. Masing-masing ada peranan tersendiri.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan Food Bank, boleh buat permohonan di www.kotamelaka.com/foodbankpkp
Bagi mereka yang mahu menyumbang tenaga dan masa sebagai sukarelawan, boleh daftar di www.kotamelaka.com/komuniti
Bagi mereka yang mahu menderma barang makanan atau wang, boleh hubungi pejabat saya.
Kita cuba lakukan apa yang boleh.

