Ada ramai penduduk Kota Melaka yang tanya saya tentang bantuan bakul makanan oleh kerajaan.
Kerajaan persekutuan memang ada sediakan bakul makanan bagi membantu golongan B40 ketika krisis Covid-19 ini. Setiap kawasan parlimen diperuntukkan 1,000 bakul makanan yang setiap satu bernilai RM100.
Menurut garis bantuan yang saya terima, pengagihan dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan bersama dengan pejabat ahli parlimen.
Tapi saya nak jelaskan bahawa pejabat parlimen Kota Melaka tidak menerima sebarang bakul makanan tersebut. Jadi saya memang tidak dapat jawab kepada mereka yang tanya tentang bantuan kerajaan ini.
Maka saya menyeru kepada kerajaan, terutamanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk berikan lebih banyak maklumat mengenai bantuan ini. Khasnya, soalan-soalan berikut sering ditanya oleh penduduk tempatan:
(1) bagaimanakah penduduk boleh memohon untuk bakul makanan tersebut?
(2) siapakah individu, agensi, atau organisasi yang telah menerima bakul makanan tersebut untuk diagihkan?
(3) apakah kriteria atau syarat kelayakan bantuan tersebut?
(4) apakah barangan yang terdapat dalam setiap bakul makanan?
(5) berapakah jumlah bakul makanan yang telah diagihkan di Melaka?
Perkara ini sangat penting kerana perlu ada ketelusan dan akauntabiliti dalam pengagihan bakul makanan ini supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan.
Untuk makluman, semua bantuan yang kita melalui pejabat parlimen Kota Melaka agihkan sejak 4 minggu yang lalu diperoleh menggunakan wang kita sendiri dan juga sumbangan daripada orang awam. Setakat ini kita berjaya membantu lebih 700 keluarga. Senarai nama penerima diberikan kepada dermawan yang telah menaja barangan.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

—

— 

