Ismail Sabri telah pun dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi kita masih belum mengetahui apakah bentuk atau komposisi pentadbirannya. Malah, kini sudah ada pertengkaran dikalangan mereka sendiri, terutamanya sama ada kerajaan ini adalah kesinambungan daripada PN atau tidak.
Kita akan mendapatkan gambaran yang lebih jelas setelah Ismail Sabri membentuk kabinetnya. Ini akan menjadi cabaran pertama beliau sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Ismail Sabri mungkin meneruskan pentadbiran kerajaan PN, di mana kebanyakan Menteri yang lepas akan tetap menjawat jawatan yang sama seperti di bawah pentadbiran Mahiaddin. Sebagai contoh, Tengku Zafrul mungkin dilantik semula sebagai Menteri Kewangan dan Radzi Jidin sebagai Menteri Pendidikan.
Sekiranya ini berlaku, ia adalah bertentangan dengan prinsip pengunduran Mahiaddin sebagai PM. Hal ini kerana apabila PM meletakkan jawatan, keseluruhan Kabinet akan turut terbubar. Pentadbiran PN #KerajaanGagal tidak wajar disusun semula dalam apa bentuk dan cara sekali pun.
Sebaliknya, Ismail Sabri mungkin akan melantik lebih banyak Menteri baharu dari partinya. Ini tidak mustahil kerana kejayaan beliau menjadi PM adalah disebabkan gerakan politik yang dilakukan oleh partinya.
Adakah kita akan lihat Zahid Hamidi atau Najib Razak menjadi Menteri semula? Atau mungkin mereka yang diketepikan semasa pentadbiran PN seperti Shahidan Kassim (Arau) dan Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak)?
PM baru juga perlu menjaga hati “keluarganya” yang memberikan sokongan kepada beliau untuk menjadi PM baharu. Antaranya, BERSATU yang sedang mengintai jawatan Timbalan PM. Begitu juga, Gabungan Parti Sarawak yang telah mencadangkan supaya jawatan Timbalan PM kedua diberikan kepada mereka.
Kita juga akan melihat adakah Ismail Sabri akan menggunakan strategi Mahiaddin iaitu memberi kedudukan GLC untuk mempertahankan kesetiaan mereka kepadanya. Malah, terdapat juga persoalan mengenai peranan pembangkang. Adakah beliau akan melibatkan kami dalam proses pemulihan negara atau terus menindas kami?
Saya rasa masyarakat Malaysia kini sudah muak dengan permainan politik yang dilakukan kerajaan. Keutamaan perlu diberikan kepada pengurusan krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara ini.
Malangnya, ucapan sulung Ismail Sabri semalam sebagai PM baru tidak begitu memberangsangkan. Slogan “Keluarga Malaysia” memang indah bunyinya, tetapi banyak perkara-perkara penting seperti visi, rancangan, dan keutamaannya beliau sebagai PM yang baharu tidak dikemukakan.
Kita akan tahu dengan lebih lanjut setelah Ismail Sabri menubuhkan kabinet beliau.

