Jelas bahawa usaha untuk membentang RUU anti-lompat parti sedang menghadapi rintangan yang kuat.
Pakatan Harapan telah menyatakan komitmen dan sokongan penuh kami terhadap RUU anti-lompat parti ini, demi menghentikan budaya “katak politik” yang telah membawa banyak ketidakstabilan kepada negara.
Namun begitu, Menteri Undang-undang telah menyatakan bahawa terdapat isu mengenai tafsiran lompat parti yang perlu dipersetujui dan diselesaikan. Sebenarnya, ini bukan perkara baru kerana telah dibincangkan sejak tahun lepas lagi.
Persoalannya, siapakah individu atau parti di kalangan pihak kerajaan yang tidak menyokong RUU anti-lompat parti ini? Apakah tafsiran atau isu-isu lain yang tidak dipersetujui oleh mereka?
Tidak dinaikan juga ada pencaturan politik oleh pihak-pihak tertentu. Presiden UMNO sendiri memberi gambaran bahawa terdapat “gunting dalam lipatan” di kalangan Menteri-menteri UMNO yang mahu melihat usaha anti-lompat parti ini gagal.
Parti atau individu yang tidak menyokong RUU anti-lompat parti diminta menyatakan pendirian dan sebab mereka supaya boleh dinilai sendiri oleh rakyat.
RUU anti-lompat parti adalah agenda utama dalam MoU yang dipersetujui antara Pakatan Harapan dan pihak kerajaan. Jika tiada penyelesaian munasabah dalam masa terdekat, MoU ini akan terbatal secara automatik kerana syaratnya telah gagal dipatuhi.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

