Pilihan Raya Negeri Melaka bakal berlangsung pada 20 November 2021 ini hasil daripada perkelahian antara pemimpin-pemimpin utama UMNO di negeri Melaka. Perkelahian ini sudah semestinya mampu dielakkan sekiranya Ketua Menteri Melaka bersama-sama dengan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berserta dengan saf kepimpinan UMNO Melaka mentadbir negeri Melaka dengan penuh etika dan integriti dalam menyelesaikan pelbagai jenis isu di Melaka. Nasi sudah menjadi bubur, akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung bebannya untuk turun mengundi pada pilihan raya dalam keadaan Covid-19 masih lagi menular.
Melaka ini sebuah negeri yang kecil sahaja saiz geografinya namun sentiasa menjadi tumpuan semua. Namun sejak lebih 15 tahun yang lepas, negeri Melaka semakin ‘berkembang’ secara geografinya hasil daripada projek-projek penambakan laut di seluruh negeri Melaka. Selepas UMNO kembali menjadi kerajaan di negeri Melaka pada bulan Mac 2020 yang lalu, sebuah projek penambakan laut bernilai RM 1.5 bilion telah dimeterai oleh kerajaan negeri Melaka pada 25 Februari 2021 bersama-sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) melibatkan anak syarikatnya iaitu PM Multilink Sdn Bhd serta dua syarikat swasta AWH Marine Sdn Bhd dalam syarikat usahasama My Marine Park Sdn Bhd dan HLRB Processing Sdn Bhd. Perjanjian usahasama kerajaan negeri dan PKNM adalah bagi projek tambak laut seluas 182.1 hektar membabitkan kos keseluruhan RM1.5 bilion.
Projek penambakan pasir ini bukanlah suatu yang baharu di Melaka kerana pada tahun 2015, Ketua Menteri Melaka pada ketika itu, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan akan menjalankan projek penambakan laut dan pembangunan pelabuhan berkonsepkan hijau bernilai RM 12.5 bilion di muara Sungai Linggi, Alor Gajah yang melibatkan kawasan seluas 250 hektar itu akan dibangunkan oleh syarikat Linggi Base Sdn Bhd dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun. Justeru itu, projek penambakan laut yang terbaru diumumkan oleh kerajaan negeri Melaka pada Februari 2021 yang lalu bukanlah sesuatu yang mengejutkan namun hanyalah suatu kesinambungan kerakusan UMNO apabila memerintah negeri Melaka.
Sehubungan dengan itu, kesan daripada projek penambakan laut di negeri Melaka bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kesannya melibatkan pelbagai aspek seperti ekonomi penduduk setempat dan juga alam sekitar. Kesan projek penambakan laut kepada alam sekitar di negeri Melaka jelas di beberapa kawasan utama di negeri Melaka seperti di Ujong Pasir, Tanjung Keling dan beberapa lagi kawasan lain. Menurut rencana yang dikeluarkan oleh Sahabat Alam Malaysia, projek penambakan laut menyebabkan berlakunya pencemaran laut, mendapan lumpur dan pasir serta masalah yang paling utama sekali di Melaka mutakhir ini adalah banjir kilat. Banjir kilat ini terjadi kerana tambakan laut menyebabkan pokok paya bakau yang menjadi pelindung kepada ombak deras di pesisiran pantai selama ini sudah tiada lagi dan menyebabkan pada waktu hujan lebat paras air laut akan meningkat naik dan melimpah melalui saluran-saluran air yang berdekatan dengan persisiran pantai Melaka. Hasilnya, pada tahun ini saja Melaka sudah dinaiki air bah sebanyak 3 kali sehingga bulan Oktober 2021.
Disamping itu, projek penambakan laut ini juga menyaksikan kesan langsung yang negatif terhadap ekonomi penduduk setempat terutama sekali nelayan-nelayan di kawasan yang berhampiran. Tinjauan SAM di Sungai Lereh dekat Tanjung Keling menyaksikan, lebih 100 nelayan pantai di sini mengalami kesukaran untuk keluar ke laut dan pulang ke pengkalan kerana perairan dan muara sungai di kawasan itu menjadi cetek akibat kegiatan penambakan laut berhampiran. Kegiatan penambakan dan penyedutan pasir laut air laut tercemar, dasar laut bergegar dan batu karang yang menjadi tempat ikan membiak turut musnah. Pada waktu yang sama, para nelayan juga menghadapi masalah pencemaran laut yang serius kerana lumpur yang dikorek di Sungai Melaka dibuang di zon tangkapan nelayan pantai. Keluh kesah nelayan ini langsung tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan negeri Melaka sehingga mengabaikan mata pencarian para nelayan yang terjejas disebabkan oleh ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di kawasan berkenaan semakin pupus sekali gus menjejaskan hasil pendapatan mereka dari lebih RM100.00 sehari kepada RM30.00 sehari.
Pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Adly Zahari, dalam tempoh masa yang terhad kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya menyedari masalah ini dan tidak meneruskan projek-projek penambakan laut yang sudah ditandatangi pada zaman Idris Haron. Dengan ketekunan dan rasa tanggungjawab, hasil pendapatan kerajaan negeri Melaka masih lagi dapat dijana tanpa mengharapkan hasil daripada projek-projek penambakan laut ini. Perkara ini jelas mencerminkan keikhlasan dan kehebatan kepimpinan Pakatan Harapan di negeri Melaka walaupun hanya selama 22 bulan. Perkara ini jelas berbeza dengan kerajaan negeri Melaka pimpinan Sulaiman Muhd Ali sejak 18 yang lepas yang menghidupkan semula projek-projek penambakan laut ini yang jelas memperlihatkan kedangkalan kepimpinan beliau secara keseluruhannya.
Sejajar dengan itu, rakyat di negeri Melaka perlulah sedar akan isu projek penambakan laut ini. Hal ini demikian kerana, negeri kita yang indah ini sudah semakin dicacatkan oleh kerakusan pemimpin-pemimpin UMNO yang hanya ingin mengaut keuntungan daripada projek-projek penambakan laut di seluruh negeri Melaka. Jika perkara ini dibiarkan, apa lagi warisan negeri Melaka yang ingin kita tinggalkan kepada anak cucu kita? Keindahan pantai-pantai di negeri Melaka yang sentiasa menjadi tarikan pelancong selama ini telah dipenuhi dengan kapal-kapal dan jentera-jentera yang menjalankan projek-projek menyedut pasir laut dan penambakan di persisiran pantai di negeri Melaka. Selain itu, bagaimana pula nasib nelayan-nelayan di negeri Melaka? Jika projek-projek ini diteruskan maka hasil pendapatan mereka akan terus susut dan mereka akhirnya terpaksa mengambil pencen awal sebelum usia persaraan. Kemajuan yang dilaungkan melalui projek-projek penambakan laut ini tidaklah seindah yang dikhabarkan malahan hanya suatu bentuk sandiwara bagi terus merompak hasil ekonomi negeri Melaka. Satu-satu persatu blok domino telah tumbang sehinggalah pemimpin-pemimpin UMNO bergocoh sesama mereka demi merebut laba yang merosakkan masa depan anak-anak negeri Melaka.
Akhirul kalam, rakyat Melaka ternyata sudah muak dan penat dengan kerenah pemimpin-pemimpin UMNO yang hanya mementingkan kantung mereka sahaja. Sudahlah mereka semakin menderita tetapi pemimpin UMNO pula terus sibuk bergaduh bagi menambahkan kekayaan masing-masing. Justeru itu, kemarahan rakyat ini perlu diterjemahkan dalam bentuk undi menentang UMNO dan sekutu-sekutunya serta mengembalikan semula mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu bagi sama-sama kita membina semula negeri Melaka yang tercinta ini.
DISEDIAKAN OLEH
SHAHRUL SHAHABUDIN
PEGAWAI PENYELIDIK AHLI PARLIMEN KOTA MELAKA
RUJUKAN
Projek tambak laut di Melaka jejas kehidupan nelayan pantai: SAM
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/10/20/projek-tambak-laut-melaka