Menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November 2021 ini, banyak persoalan yang masih lagi menjadi tanda tanya. Kemasukan jumlah pengundi baru disebabkan oleh penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun serta pendaftaran pengundi automatik sepatutnya mampu mengubah dinamik pilihan raya di Malaysia terutama sekali pada Pilihan Raya Negeri Melaka kelak.
Berdasarkan senarai pengundi baru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), penambahan sejumlah 1/3 atau lebih 100,000 daripada keseluruhan jumlah pengundi di seluruh negeri Melaka. Perkara ini bukan sesuatu yang memeranjatkan disebabkan oleh penambahan pengundi disebabkan oleh penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun serta pendaftaran pengundi automatik.
Namun yang demikian, SPR mengumumkan bahawa sejumlah pengundi baharu yang berdaftar selepas suku kedua tahun 2021 tidak boleh mengundi pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang. Keputusan ini sangat memeranjatkan kerana menafikan hak untuk mengundi bagi generasi berumur 18 tahun ke atas walaupun pindaan Perlembagaan sudah berjaya dilakukan pada tahun 2019.
Persoalan yang paling utama dalam isu ini sudah semestinya melibatkan sebab di sebalik keputusan SPR dan kerajaan yang menafikan hak bagi sejumlah pengundi baru untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang. Mengapa golongan ini tidak dibenarkan untuk mengundi sesegera mungkin sedangkan keputusan kehakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching nyata membenarkan kelompok ini untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.
Adakah kerana dinamik serta kehendak politik kelompok pengundi baru ini masih lagi tidak diketahui serta difahami oleh blok kerajaan atau blok pembangkang menyebabkan keputusan yang tidak berasas ini perlu dilakukan. Hal ini demikian kerana, kemasukan blok pengundi baru ini sudah semestinya akan mengubah landskap politik negara terutama sekali melibatkan aspek demografik dan pola pengundian kelak. Justeru itu, Pilihan raya Negeri Melaka sepatutnya menjadi medan terbaik SPR dan setiap parti politik di Malaysia untuk bereksperimen menjelang Pilihan Raya Umum ke 15. Kemaraan pengundi baru ini sudah tidak boleh dihalang lagi maka tindakan SPR ini perlu dicabar oleh semua pihak supaya hak pengundi ini dikembalikan.
Dinamik pengundi baharu ini terutama sekali pengundi berumur 18 tahun ke atas ini masih belum dapat dipecahkan kebuntuannya. Kehendak politik mereka yang terabai selama ini nyata lebih menyukarkan buat parti-parti politik di Malaysia yang dipenuhi pemikiran feudal dan kolot. Kelompok ini ternyata mampu menjadi bom jangka yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja sekiranya diberikan peluang untuk mengundi.
Kelompok ini juga teruk menjadi mangsa kepada penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Pendidikan mereka nyata terjejas sejak setahun yang dulu apabila mereka tidak boleh pergi ke sekolah seperti biasa ataupun tidak boleh menghadiri kuliah di universiti. Mereka terpaksa belajar dengan keadaan yang tidak kondusif melalui pengajian atas talian. Dengan kekurangan yang mereka hadapi seperti masalah capaian internet serta kekurangan peralatan elektronik seperti komputer riba dan tablet maka mereka tidak menyambung pengajian mereka seperti biasa dan merencatkan prestasi kita. Antara contoh yang jelas ialah saudari Viviona yang terpaksa memanjat pokok bagi menghadiri kuliah atas talian serta menjawab peperiksaan secara atas talian di Sabah disebabkan oleh masalah akses internet di kawasan tempat tinggalnya. Masalah yang dihadapi oleh Viviona ini antara bukti terhadap pengabaian pihak kerajaan akan nasib para pelajar sekolah dan universiti yang mengalami kesukaran untuk menjalani pengajian atas talian sejak lebih setahun yang lalu.
Justeru itu, pilihan raya negeri Melaka ini adalah sebuah medan yang mustahak bagi mereka memastikan suara mereka jelas dan dapat didengari oleh pihak kerajaan dan parti-parti politik di Malaysia. Mereka ini merupakan blok pengundi yang dapat memastikan perubahan landskap politik yang sudah berlangsung sejak 9 Mei 2018 dapat diteruskan serta membuka ruang demokrasi pilihan raya di Malaysia dengan lebih luas. Penyertaan mereka juga dapat memastikan bakal-bakal pengubal dasar baik di peringkat negeri Melaka mahupun di peringkat persekutuan untuk lebih cakna dan celik dengan kehendak politik mereka serta langkah-langkah bagi memperkasakan golongan belia di Malaysia secara keseluruhannya.
Golongan belia pada hari ini tidak sama dengan golongan belia pada pilihan-pilihan raya yang lalu. Pada hari ini belia berumur 18 tahun dan ke atas sudah jauh terdedah dengan segala jenis maklumat yang wujud dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Sehubungan dengan itu, sebarang sangkaan yang menafikan kecelikan mereka untuk membuat pilihan politik sendiri adalah tidak benar serta menghina kepintaran golongan ini. Disamping itu, bagaimana kita dapat mengukur kemampuan mereka untuk terlibat dalam demokrasi pilihan raya di Malaysia sekiranya masih banyak golongan yang lebih dewasa melihat mereka sebagai kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa namun pada masa yang sama membangkitkan tentang keperluan orang muda untuk menjadi pemimpin. Ruang dan peluang perlu diberikan kepada mereka untuk terlibat dalam pilihan raya negeri Melaka yang akan datang sama ada sebagai pengundi ataupun lebih hebat lagi sebagai calon pilihan raya.
Akhir sekali, sekiranya keputusan yang dibuat oleh SPR untuk tidak melibatkan sejumlah pengundi baru untuk keluar mengundi maka ianya adalah tidak wajar serta langsung tidak berasas sama sekali. Maka dengan itu, semua pihak perlu sedar dengan masalah ini dan membangkitkannya bersama-sama supaya amalan demokrasi pilihan raya di Malaysia dapat disuburkan lagi dengan kehadiran golongan belia berumur 18 tahun dan ke atas.
SHAHRUL SHAHABUDIN
PENGAWAI PENYELIDIK AHLI PARLIMEN KOTA MELAKA

