Setelah lebih dua bulan selesainya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Penggal Pertama Parlimen ke-14 akhirnya telah mula bersidang pada 16 Julai 2018. Persidangan parlimen kali ini adalah amat bersejarah, kerana buat pertama kalinya, pihak Pakatan Harapan duduk di tempat kerajaan dan Barisan Nasional di tempat pembankang.
Di bawah sistem demokrasi berparlimen, terdapat tiga cabang kerajaan yang memainkan peranan yang penting, iaitu: badan Eksekutif, Kehakiman, dan Perundangan (Parlimen). Ketiga-tiga cabang kerajaan ini memainkan peranan yang penting untuk menyemak dan mengimbangi kuasa masing-masing.
Malangnya sewaktu pemeintahan Barisan Nasional, peranan dan kuasa parlimen telah ditindas dan dikecilkan sehingga menjadi sekadar “rubber stamp”. Oleh itu, persidangan parlimen yang baru ini juga amat bersejarah kerana kita akan menyaksikan pembaharuan dan reformasi sistem pentadbiran di Malaysia, termasuklah pembaharuan dan pemerkasaan kuasa dan fungsi parlimen.
Khususnya, ahli-ahli parlimen backbenchers akan memainkan peranan yang penting di parlimen, dalam ketiadaan pihak pembangkan yang kuat dan tersusun. Pada pendapat saya, ahli-ahli parlimen backbenchers akan memainkan tiga peranan yang penting di Parlimen.
(1) Semak dan Imbang
Ahli-ahli parlimen akan memantau dasar-dasar dan tindakan semua kabinet dan kementerian-kementerian. Kami perlu lantang menyuarakan pendapat tanpa rasa ketakutan atau berat sebelah, termasuklah terhadap pemimpin parti sendiri.
Di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang baru, perlu juga adanya budaya politik baru yang lebih terbuka dan matang. Kerajaan dan pemimpin harus mengalu-alukan kritikan dan pendapat daripada semua orang kerana ia akan menjadikan negara kita lebih kuat dan gagah.
(2) Memantau badan-badan berkanun
Di bawah manifesto Pakatan Harapan dan sebagaimana yang telah diumumkan, badan-badan berkanun penting seperti SPR, SPRM, SUHAKAM, dan Jabatan Audit Negara akan lapor kepada dan dipantau oleh parlimen.
Ini bermaksud beberapa Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) akan ditubuhkan untuk memantau badan-badan tersebut. Jawatankuasa-jawatankuasa ini akan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen backbenchers, termasuk dari pihak pembangkang. Mereka akan meneliti segala dasar, laporan, dan tindak tanduk badan-badan tersebut supaya adalah selaras dengan undang-undang. Dalam jangkamasa panjang, setiap kementerian juga wajar dipantau oleh sebuah Jawatankuasa Terpilih tersendiri.
(3) Menggubal undang-undang
Ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua perkara yang dijanjikan di dalam manifesto dilaksanakan. Kebanyakan janji-janji tersebut melibatkan pemindaan undang-undang atau penggubalan yang baru. Ini termasukkan pemindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan di mana perlu.
Oleh itu, ahli-ahli parlimen mempunyai tugas untuk memastikan undang-undang baru dan penggubalan dijalankan untuk membawa menguatkan sistem pentadbiran negara. Pada masa yang sama, ia perlu dijalankan secara betul, selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi dan untuk kepenting rakyat, bukannya untuk melindungi kepenting kerajaan.
Kesimpulannya, seseorang ahli parlimen adalah wakil yang diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat. Oleh itu, ahli parlimen adalah nadi yang membawa suara rakyat ke parlimen untuk menjaga kepentingan mereka.
Walaupun kini Pakatan Harapan merupakan kerajaan pemerintah, ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan akan terus berani untuk menyuarakan perkara-perkara berkaitan dengan kepentingan awam, tanpa mengira parti atau kedudukan
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

