MELAKA: Ahli parlimen Khoo Poay Tiong menyeru supaya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Melaka dibuka beroperasi pada hari Ahad.
Menurutnya, negeri Melaka adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang PPV tidak beroperasi pada hari Ahad.
Perkara ini menjejaskan kadar pemberian vaksin di negeri Melaka.
“Tidak dinafikan bahawa kadar vaksinasi di Melaka telah meningkat. Pada bulan Jun, purata pemberian vaksin sehari ialah 4,090, manakala pada bulan Julai pula ialah 9,840.
“Akan tetapi, kita tidak boleh tunggu dan lihat sahaja. Kerajaan perlu proaktif untuk terus meningkatkan kadar vaksinasi di Melaka.
“Antara cara yang paling mudah ialah untuk membuka PPV pada hari Ahad. Semua infrastruktur sudah tersedia, dan tiada sebab mengapa PPV tidak boleh beroperasi pada hari Ahad.
Pembukaan PPV pada hari Ahad dijangka boleh menambah lebih 30,000 dos pemberian vaksin sebulan.
Beliau menegaskan bahawa setiap satu vaksin tambahan yang diberi mampu menyelamatkan nyawa seseorang.
Selain itu, Poay Tiong juga memberi cadangan supaya kerajaan membuat lebih banyak PPV, khususnya di peringkat komuniti, supaya proses pemvaksinan boleh terus dipercepatkan.
Pada bulan Jun, beliau telah menulis kepada Menteri untuk menawarkan bantuan beliau untuk menubuhkan PPV baharu secara percuma bersama dengan NGO tempatan.
Pada sesi parlimen yang lepas, beliau turut menggesa kerajaan untuk membeli 14 juta dos vaksin daripada Pharmaniaga untuk mempercepatkan bekalan vaksin di negara ini.

