MELAKA: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mencadangkan agar kerajaan negeri Melaka menyediakan Unit Vaksin Bergerak untuk golongan warga emas supaya mereka boleh mengambil vaksin secepat mungkin.
Khoo menyata bahawa beliau telah menerima banyak aduan daripada warga emas yang telah diminta untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang jauh walaupun terdapat PPV lain yang lebih dekat dengan rumah mereka.
Oleh sebab tidak mempunyai pengangkutan, ramai yang tidak dapat pergi untuk mendapatkan vaksin.
Khoo mencadangkan supaya Unit Vaksin Bergerak ini menumpukan perhatian di daerah, kawasan perumahan atau kampung yang terdapat ramai warga emas.
“Terdapat beberapa buah negeri telah menjalankan kaedah ini, terutamanya di kawasan kampung dan luar bandar supaya memudahkan penduduk di sana mendapat vaksin.”
Khoo juga telah menghantar seorang warga emas yang tiada pengangkutan di Bunga Raya ke Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak untuk mendapatkan vaksin.
Menurut beliau, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka menyediakan bantuan pengangkutan untuk menghantar warga emas atau OKU di kawasan Melaka Tengah ke pusat vaksin.
Selain itu, Khoo juga mencadangkan agar kerajaan membenarkan warga emas mengambil vaksin secara “walk-in”, iaitu terus hadir ke pusat vaksin yang berhampiran dengan kad pengenalan tanpa perlu mendaftar ataupun menunggu notis temu janji.
Langkah ini bukan sahaja mencepatkan vaksinasi untuk warga emas, malah menggalakkan lebih ramai warga emas tampil untuk menerima vaksin.

