Saya merujuk kepada pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, di parlimen semalam mengenai projek Perumahan.Rakyat 1Malaysia (PR1MA)
Semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan, beliau telah menyatakan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM8 billion untuk projek PR1MA sejak dimulakan pada 2013, tetapi hanya 1.6% atau 16,682 unit rumah PR1MA sahaja yang telah dibina setakat ini.
Perkara ini amat mengejutkan kerana ia menunjukkan satu lagi masalah dan skandal besar yang ditinggalkan oleh kerajaan lama. Pihak pembangkang harus mencerminkan diri sendiri kerana mereka telah gagal untuk menepati janji manifesto mereka.
Semasa PRU13 pada tahun 2013, mantan Perdana Menteri Najib Razak telah berjanji melalui manifesto Barisan Nasional untuk membina 1 juta rumah mampu milik, termasuk 500,000 unit rumah PR1MA. Pada bulan Mac 2018, iaitu sebelum PRU14 pula, Najib Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan telah mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik.
Pendedahan oleh YB Timbalan Menteri semalam menunjukkan bahawa Najib Razak telah sekali lagi menipu rakyat dan memberi gambaran yang palsu. Hakikatnya, projek PR1MA telah gagal sama sekali kerana tidak terlaksana dengan baik dan telah menyebabkan pembaziran sebanyak RM8 billion.
Perkara ini boleh disahkan oleh pengalaman saya sendiri di Melaka, di mana saya difahamkan bahawa kontraktor menghadapi masalah kerana tidak menerima bayaran daripada pihak kerajaan. Ini telah menyebabkan projek PR1MA terbengkalai.
Maka saya menyeru kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjalankan penyiasatan lanjut mengenai skandal projek PR1MA ini dan memberi maklumat terperinci kepada rakyat dalam masa terdekat. Khasnya, pihak Kementerian harus menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur rasuah oleh kerajaan yang lama dalam projek PR1MA.
Isu Perumahan adalah salah satu perkara penting yang dihadapi oleh rakyat dan berkait rapat dengan kesejahteraan dan keharmonian hidup mereka. Oleh itu, Kementerian dan Kerajaan Pakatan Harapan juga mesti mengorak strategi dan dasar baru untuk menghadapi isu ini.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

