1. Semalam telah diumumkan bahawa bandar Melaka dan Jasin merupakan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia. Bandar Melaka nombor 1 dan Jasin nombor 8.
2. Pengiktirafan ini memang sesuatu yang baik dan membanggakan kita sebagai penduduk di Melaka. Tahniah dan syabas kepada semua.
3. Saya hendak ambil sedikit ruang untuk mengupas perkara ini dengan lebih lanjut.
4. Pengiktirafan bandar paling bahagian ini adalah mengikut “Indeks Kebahagian”. Kajian Indeks Kebahagian dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia). Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman Facebook mereka di
https://www.facebook.com/PLANMalaysia
5. Indeks Kebahagiaan mengukur tahap kesejahteraan penduduk tempatan. Ia merangkumi beberapa komponen utama seperti tahap kesihatan, keseronokan bekerja, keselamatan kawasan kediaman, kualiti alam sekitar, kemudahan awam, dan sebagainya.
6. Jadi secara keseluruhannya, bandar Melaka dan Jasin telah mencatat skor yang tinggi untuk tahun 2019. Ini bermakna penduduk di sini lebih gembira dan berpuas hati dengan kualiti kehidupan, berbanding dengan bandar-bandar yang lain.
7. Indeks Kebahagiaan ini boleh digunakan oleh kerajaan dan juga pihak lain seperti NGO untuk membuat perancangan yang berkaitan dengan projek atau program awam, khasnya untuk menambahbaik aspek-aspek yang terdapat kelemahan.
8. Pada masa yang sama, Indeks ini adalah suatu ukuran purata. Di mana-mana jua akan masih ada individu atau keluarga yang tercicir, terutamanya ketika situasi Covid-19 ini. Contohnya, golongan miskin bandar, OKU, warga emas tanpa waris, dan mereka yang kehilangan kerja.
9. Oleh itu, fokus juga wajar diberikan untuk mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara individu, keluarga, dan masyarakat supaya kita dapat membangun dan makmur bersama-sama.

