Keadaan Covid-19 di Malaysia terkawal dan kita perlu teruskan usaha ini.
Tetapi di peringkat dunia, wabak Covid-19 masih amat merisaukan. Pada 27 April 2020, World Health Organisation (WHO) melaporkan terdapat 93,109 kes baharu dan 5,747 kematian. Jumlah keseluruhan pula ialah 2,810,325 kes dan 193,825 kematian.
Ini bermakna wabak Covid-19 akan mengambil masa yang lebih lama untuk selesai, mungkin 6-12 bulan lagi.
Di dalam era moden ini, negara-negara di dunia saling berkait (interconnected). Maka, apa yang berlaku di dunia sudah pasti akan memberi kesan kepada Malaysia.
Malaysia bergantung banyak kepada perdagangan, iaitu import dan eksport. Negara yang paling teruk sekarang ialah USA. Tiap-tiap hari ada 20,000+ kes baharu. Ini akan memberi kesan kepada kita kerana negara USA ialah salah satu rakan perdagangan kita yang terbesar.
Di peringkat ASEAN pula, negara-negara jiran kita juga sedang bertungkus-lumus. Contohnya di Singapura, minggu lepas ada tambahan 1,000+ kes sehari. PKP mereka adalah sehingga 1 Jun. Ramai orang Malaysia yang bekerja dan berniaga di Singapura.
Sektor pelancongan ialah sektor ketiga paling besar untuk ekonomi kita. Sudah pasti jumlah pelancongan akan menurun untuk tahun akan datang. Ini memberi kesan bukan sahaja kepada hotel-hotel dan pengendali pelancongan (tour operators) tetapi juga kepada sektor F&B dan retail (shopping).
Jadi pemikiran dan perancangan kita perlu menjurus kepada jangka masa panjang.
Terutamanya untuk kerajaan. Perdana Menteri Muhyiddin pernah sebut kita kena bersiap sedia untuk “the new normal”. Tetapi kerajaan masih belum menentukan apa rancangan dan strategi negara kita untuk jangka masa panjang. Ini perlu disegerakan.
Walaubagaimanapun, kita sendiri kena proaktif dan rancang untuk jangka masa panjang. Contohnya, mereka yang berniaga tetapi masih tak ada kedai online dan delivery, sekarang mesti mahu laksanakannya. Untuk para guru dan pelajar, perlu ada inisiatif untuk mencara kaedah baru untuk mengajar dan belajar.
Dan paling penting ialah kita jangan leka. Terus patuhi PKP dan amalkan penjarakkan sosial supaya wabak Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya.

