Surat kepada Pengarang
1 Oktober 2020
Sekarang bukan masanya untuk Pilihan Raya
Negara kita sekali lagi dilanda ketidaktentuan politik. Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa beliau telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan yang baharu.
Walaubagaimanapun, dunia politik sememangnya tidak menentu. Kemungkinan besar kita terpaksa melalui pilihan raya mengejut jika situasi tersebut tidak dapat diselesaikan.
Apa yang berlaku di Sabah baru-baru ini adalah pengajaran yang wajar diteliti. Pilihan raya Sabah tercetus akibat percaturan politik oleh Perikatan Nasional dalam memancing “katak-katak” untuk menyertai mereka. Shafie Apdal tiada pilihan dan terpaksa menasihatkan Yang di-Pertua Negeri untuk memansuhkan Dewan Undangan Negeri.
Namun, saya sesungguhnya berpendapat bahawa sekarang bukanlah masanya untuk mengadakan pilihan raya.
Baru-baru ini saya berada di Sabah selama lebih dua minggu ketika pilihan raya berlangsung. Saya ditempatkan di Tawau untuk membantu calon DAP di N69 Sri Tanjong, iaitu Justin Wong.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, Tawau merupakan salah satu zon merah Covid-19 ketika pilihan raya sedang berlangsung.
Di pertengahan tempoh berkempen, kami terpaksa membatalkan kebanyakan aktiviti berkempen yang melibatkan kontak rapat dengan orang ramai, seperti melawat ke pasar dan program ceramah. Ini secara langsung telah membataskan kebolehan kami untuk sampai kepada pengundi.
Banyak perniagaan tempatan juga risau tentang jumlah kes Covid-19 yang kian meningkat. Saya mendapati banyak kedai di Tawau dengan sukarelanya menutup atau mengehadkan operasi mereka apabila jumlah kes Covid-19 mula meningkat.
Banyak kedai makan juga mula melarang pelanggan makan di kedai dan hanya membenarkan mereka bungkus dan bawa pulang. Beberapa sekolah dan pasar ditutup oleh pihak berkuasa tempatan, dan mereka juga kemudiannya membuat peraturan bahawa kedai-kedai hendaklah ditutup selepas 6pm.
Saya juga dimaklumkan bahawa banyak penduduk tempatan mula keluar dari Tawau ke bandar-bandar lain kerana risau “lockdown” akan dikenakan semula. Sememangnya, ini adalah bertentangan dengan seruan untuk “balik undi”.
Apabila saya pulang dan tiba di KLIA pada 23 September, tidak ada sebarang pun saringan kesihatan dijalankan di lapangan terbang. Saya boleh berjalan dari pintu ketibaan ke kereta saya tanpa dihentikan oleh sesiapa atau ditanya apa-apa soalan.
Saringan kesihatan dan ujian Covid-19 hanya diwajibkan mulai 27 September, iaitu sehari selapas pilihan raya Sabah. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga hanya dilaksanakan secara rasmi selepas pilihan raya. Semua ini bukan kebetulan.
Amat jelas bahawa kerajaan telah melambatkan pelaksanaan langkah-langkah ini kerana pilihan raya Sabah.
Perjalanan proses pilihan raya ketika pandemic Covid-19 masih berleluasa adalah suatu ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan awam. Pilihan raya Sabah kali ini barangkali telah menyebabkan peningkatan semula jumlah kes Covid-19 di seluruh Malaysia.
Proses pilihan raya tidak mungkin “bebas” dalam situasi sebegini, iaitu apabila kesihatan awam terancam. Sudah pasti banyak pengundi yang tidak akan keluar mengundi kerana risau, dan ini menyebabkan peratusan keluar mengundi menjunam seperti di Sabah.
Seperti yang saya nyatakan, ketidaktentuan politik sekarang kemungkinan akan membawa kepada pilihan raya mengejut. Malah, Perdana Menteri baru-baru ini turut telah berkata bahawa pilihan raya mungkin akan diadakan jika gabungan parti beliau menang di Sabah. Selain itu, pilihan raya negeri Sarawak juga perlu diadakan tidak lama lagi.
Sekarang bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya. Saya menyeru kepada semua pihak supaya tidak mengambil risiko sebegini. Kita seharusnya memberi tumpuan untuk membendung Covid-19 yang kini sedang menular semula dan juga untuk memperkuatkan ekonomi negara.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka