Saya merujuk kepada pengumuman pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai usul parlimen yang bakal dibentangkan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Sebagai salah seorang ahli parlimen Pakatan Harapan (PH), saya mengalu-alukan pengumuman ini dan menyokong sepenuhnya pembentangan usul ini di sesi parlimen yang akan datang.
Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dijangka akan memberikan kelayakan mengundi kepada 3.7 juta belia. Penambahan ini amat besar jika dibandingkan dengan jumlah pengundi yang berdaftar pada pilihan raya umum yang lepas, iaitu seramai 13.9 juta pengundi.
Cadangan untuk menurunkan had umur mengundi adalah sebahagian daripada manifesto PH. Hak untuk mengundi ialah hak asasi yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Langkah untuk menurunkan had umur mengundi merupakan komitmen kerajaan PH baharu untuk memperkasakan golongan muda dengan hak mengundi dan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam proses demokrasi secara terus.
Beberapa pihak telah menyatakan bantahan terhadap cadangan ini kerana meragui kebolehan pengundi-pengundi muda untuk membuat keputusan yang baik ketika mengundi. Walaubagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan pendapat sedemikian.
Dari segi undang-undang, umur dewasa di Malaysia ditetapkan pada 18 tahun. Pada tahap umur ini, seseorang disifatkan sebagai orang dewasa yang mempunyai kemampuan dan azam tersendiri untuk membuat keputusan-keputusan penting. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita memberi kepercayaan penuh kepada golongan belia dan memperkasakan mereka dengan hak mengundi.
Lebih-lebih lagi, Malaysia merupakan antara beberapa negara yang masih lagi mempunyai had umur mengundi yang begitu tinggi. Sebagai contoh, di rantai ASEAN, hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang mempunyai had umur mengundi 21 tahun. Sebaliknya, Indonesia dan Timor Leste mempunyai had umur mengundi yang paling rendah, iaitu 17 tahun.
Usul parlimen untuk merendahkan had usia mengundi memerlukan majority dua pertiga kerana ia melibatkan pemindaan perlembagaan persekutuan. Oleh itu, saya menyeru agar semua ahli parliament dari semua parti untuk menyokong usul tersebut.
Pihak pembangkang, khasnya UMNO, PAS, dan GAP, tidak mempunyai sebarang sebab untuk tidak menyokong usul ini, melainkan mereka berhasrat untuk mensabotaj agenda reformasi kerajaan PH, mempolitikkan isu ini, dan menidakkan kehendak rakyat. Sememangnya, pihak pembangkang telahpun bertindak sedemikian, sepertimana mereka tidak menyokong usul pemindaan perlembagaan untuk memperkasakan Sabah dan Sarawak, dan menolak pemansuhan Akta Berita Palsu.
Semua parti politik dan ahli parlimen wajar mengambil pendekatan bi-partisan dalam isu ini dan menyokong usul tersebut sepenuhnya untuk memperkasakan golongan belia di Malaysia.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

