PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2022
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG minta PERDANA MENTERI menyatakan status terkini Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir untuk tahun 2021, termasuk maklumat berikut :-
a) jumlah permohonan, bilangan yang diluluskan, jumlah yang telah menerima bayaran, dan sebab-sebab utama permohonan ditolak; dan
b) maklumat seperti di atas secara berasingan untuk daerah Melaka Tengah.
JAWAPAN
DIJAWAB OLEH YB DATUK DR ABD LATIFF BIN AHMAD MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (TUGAS TUGAS KHAS)
Tuan Yang di-Pertua,
1. Setakat 15 Mac 2022, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM221.926 juta bagi tujuan pengagihan Bantuan Wang Ihsan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dengan bencana banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 di seluruh negara.
2. Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan bagi MTL 2021/2022 di seluruh negara baru-baru ini adalah sebanyak 214,795 Ketua Isi Rumah (KIR). Beberapa isu perlu diteliti sebelum sesuatu permohonan diluluskan seperti:
(i) Mengenal pasti mangsa yang layak mendapat keseluruhan atau sebahagian bantuan;
(ii) Permohonan bertindih dari Ketua Isi Rumah (KIR) yang sama; dan
(iii) Permohonan daripada mereka yang tidak layak.
Sekiranya mangsa yang masih belum mendapat bantuan, ini berkemungkinan kerana mereka tidak layak.
Setakat ini, berdasarkan rekod NADMA, seramai 6,340 KIR yang terjejas akibat banjir dan layak menerima BWI. Dari jumlah tersebut seramai 4,406 KIR telah menerima BWI bagi daerah Melaka Tengah. Proses pengagihan BWI kepada mangsa yang layak masih giat dijalankan dengan kerjasama erat antara NADMA, Kerajaan Negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Pengesahan mereka yang layak menerima bantuan adalah di bawah tanggungjawab Pegawai Daerah yang berkenaan.
Sekian, terima kasih.

