Pertanyaan: Kuota pengambilan pekerja asing untuk sektor pelancongan

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]

SOALAN

TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan :-

(a) jumlah kuota pengambilan pekerja asing untuk sektor pelancongan, berapakah permohonan yang telah diterima dan diluluskan setakat ini untuk tahun 2022 ;

dan

(b) apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor pelancongan.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Sehingga 8 Julai 2022, terdapat 905 permohonan kuota yang telah dibuat oleh pihak syarikat/majikan dari sektor pelancongan. Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan sebanyak 890 kuota yang terdiri daripada sub-sektor hotel sebanyak 565 kuota, spa sebanyak 70 kuota dan pusat urut kaki sebanyak 255 kuota.

Impak pandemik COVID-19 ke atas pasaran buruh di semua sektor termasuk sektor pelancongan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Bagi meneruskan kesinambungan pemulihan ekonomi negara, Kerajaan dalam Bajet 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepada PERKESO untuk melaksanakan JaminKerja Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan 300,000 pencari kerja dari seluruh negara termasuk di sektor pelancongan. Program JKIP yang telah bermula pada 17 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 bertujuan membantu peluang kerjaya pekerja tempatan menerusi program-program seperti berikut:

i. Program Perantisan untuk jawatan Eksekutif di kalangan pekerja berumur 18 – 30 tahun;

ii. Dorongan kepada majikan untuk membuat pengambilan pekerja di kalangan golongan mudah terjejas;

iii. Pengambilan Pencari Kerja Am;

iv. Pengambilan pekerja wanita yang telah mengganggur melebihi tempoh 6 bulan, ibu tunggal dan suri rumah;

v. Pengambilan pekerja di bawah sektor Pelancongan;

vi. Penggantian pekerja asing dan pegawai dagang; dan

vii. Bantuan mobiliti secara one-off.