Baru-baru ini terdapat banya kontrovesi terhadap aplikasi MySejahtera, di mana kerajaan sedang berbincang dengan syarikat pengendali mengenai kontrak yang mungkin bernilai ratusan juta ringgit.
Secara dasarnya, kontrak tersebut tidak wajar digunakan sebagai peluang oleh mana-mana syarikat swasta untuk mengaut keuntungan yang melampau. MySejahtera adalah sebuah aplikasi yang dibangunkan untuk menangani Covid-19 dan berpotensi untuk tujuan kesihatan awam yang lain. Oleh itu, asas dan prinsip “non-profit” ini hendaklah dikekalkan oleh kerajaan.
Memang disedari bahawa perlu adanya penyelengaraan untuk aplikasi tersebut dan ini akan memerlukan kos-kos tertentu. Kerajaan boleh melantik syarikat swasta untuk tujuan ini, tetapi kontrak tersebut hendaklah berpatutan dan tidak digunakan oleh pihak-pihak untuk mengaut keuntungan.
Kaedah yang terbaik adalah melalui proses tender terbuka. Memandangkan isu ini berkepentingan awam, segala butiran kontrak hendaklah diterbitkan secara awam supaya orang ramai boleh memantau dan menilai apa yang telah dipersetujui. Buat masa ini, semua kontrak tersebut sedang dirunding secara terus.
Isu MySejahtera turut melibatkan pelbagai lagi aspek penting. Antaranya persoalan tentang keselamatan data-data pengguna, iaitu rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia memberi kerjasama kepada kerajaan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk memerangi Covid-19, bukannya untuk tujuan komersial yang lain.
Beberapa pakar juga telah menimbulkan persoalan sama ada aplikasi MySejahtera masih relevan, memandangkan negara kita telah masuk ke fasa endemik Covid-19. Dalam masa terdekat, kita mungkin tidak perlu “check-in” lagi apabila pergi ke kedai-kedai.
Terdapat juga isu pemilikan aplikasi MySejahtera di mana pemilik syarikat telah menyaman antara satu sama lain di mahkamah. Sehingga hari ini, masih belum ada kepastian tentang siapa sebenarnya yang memiliki hak terhadap aplikasi MySejahtera. Kementerian Kesihatan? Atau syarikat pengendali tersebut?
Semua isu-isu ini perlu ditangani oleh kerajaan secepat mungkin secara telus dan terbuka.

