Kementerian Pendidikan telah menetapkan dasar di mana sekolah-sekolah yang disahkan mempunyai kes Covid-19 akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari.
Namun begitu, saya mendapat maklum balas daripada ibu bapa dan pihak sekolah bahawa masih terdapat keraguan dari segi pelaksanaan kuarantin untuk guru-guru yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 di sekolah.
Menurut Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia No.5/2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, definisi kontak rapat termasuklah mereka yang bekerja secara dekat atau berkongsi sesebuah bilik yang sama dengan pesakit Covid-19.
Kontak rapat dikehendaki melalui saringan Covid-19, kuarantin 10 hari, dan saringan kali kedua sebelum boleh bebas bergerak.
Saya dimaklumkan bahawa pada ketika ini terdapat dasar yang bercanggah dengan garis panduan tersebut, di mana guru-guru yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar yang telah disahkan positif Covid-19 (contohnya guru yang mengajar di kelas tersebut) tidak perlu dikuarantin penuh untuk 10 hari. Sebaliknya, guru boleh kembali bertugas di sekolah jika saringan Covid-19 mereka yang pertama didapati negatif.
Selepas berbincang dengan pegawai kesihatan daerah, kami bersetuju bahawa pihak sekolah boleh memohon untuk guru yang terlibat dalam kontak rapat menjalankan kuarantin penuh.
Namun saya berpendapat bahawa pihak kerajaan wajar membuat dasar yang lebih jelas dan seragam dalam perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan ibu bapa, pelajar, dan guru.
Pengendalian kontak rapat secara rapi adalah sangat penting untuk memutus rangkaian Covid-19 khasnya di sekolah-sekolah.
Berikutan ini, saya telah menulis surat kepada Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan untuk mengambil perhatian dalam perkara ini.
Terima kasih.

