MALAYSIA
KAMAR KHAS
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PENGGAL KETIGA
MESYUARAT KEDUA
Selasa, 21 Julai 2020
Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
UCAPAN DI BAWAH USUL
BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)
Tadbir Urus Tourism Malaysia
2.34 ptg.
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, tajuk ucapan Kamar Khas pada petang ini ialah Tadbir Urus Tourism Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, sektor pelancongan ialah antara sektor ekonomi yang terpenting di Malaysia. Ia merupakan sektor ketiga terbesar di Malaysia dan telah menyumbang sekitar 6.5 peratus daripada GDP pada tahun 2018. Perkara yang dibawa saya pada hari ini berkaitan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai Tourism Malaysia.
Tourism Malaysia memainkan fungsi penting untuk menggiatkan pelancongan ke dalam Malaysia khasnya melalui aktiviti pemasaran dan penggalakan. Dalam Belanjawan 2020, Tourism Malaysia menerima peruntukan yang amat besar iaitu sebanyak RM190 juta. Peruntukan program khusus penggalakan pemasaran, promosi dan acara-acara ialah sebanyak RM155 juta, Tahun Melawat Malaysia 2020 sebanyak RM40 juta dan peruntukan pembangunan pemasaran dan promosi sebanyak RM87.5 juta.
Saya ingin mengutarakan dua isu iaitu:
(i) Strategi Tourism Malaysia: tahun ini sektor pelancongan sedunia telah terkesan oleh COVID-19 dan kebanyakan negara termasuk Malaysia telah mengenakan sekatan perjalanan untuk masuk ke negara. Jadi, apakah strategi Tourism Malaysia dari segi pemasaran dan penggalakan pelancongan untuk tahun ini? Adakah pihak kementerian akan mengkaji semula peruntukan belanjawan? Contohnya, bolehkah sebahagian peruntukan digunakan untuk tujuan pembangunan dan menaik taraf infrastruktur atau aset pelancongan?
(ii) Tadbir urus (governance) Tourism Malaysia: pada Jun 2020, SPRM telah menahan tiga orang pengarah syarikat berkaitan kes rasuah dalam tender projek bernilai RM90 juta oleh Tourism Malaysia. Pada Januari 2019 pula, mantan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Siew Ka Wei dan seorang CEO syarikat swasta, Elizabeth Ken telah direman oleh SPRM. Kes ini melibatkan kontrak RM99 juta yang dilaporkan diluluskan sebelum pilihan raya umum yang lepas. Pada September 2016, SPRM dilaporkan telah menyiasat seorang “Datuk Seri” di Tourism Malaysia atas penyalahgunaan kuasa dan pembelian tiket-tiket penerbangan.
Begitu juga, Laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2018 menyatakan pengurusan kewangan bagi program promosi Tourism Malaysia tidak memuaskan kerana perbelanjaan pada tahun 2015 dan 2017 melebihi peruntukan berjumlah RM56.59 juta. Perbelanjaan tidak diurus dengan cekap dan teratur menyebabkan berlakunya hutang tertunggak dan telah berlaku pelanggaran prosedur kewangan.
Kes-kes tersebut amat merisaukan kerana berlaku dengan amat kerap. Maka saya ingin meminta beberapa penjelasan iaitu:
(i) Apakah status kes-kes yang disebut oleh saya tadi khususnya apakah tindakan atau siasatan dalam (internal inquiry) yang telah diambil oleh Tourism Malaysia sendiri?
(ii) Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kementerian untuk menguatkan tadbir urus Tourism Malaysia?
(iii) Mengapakah maklumat keputusan tender dan sebut harga tidak lagi dipamerkan di laman web Tourism Malaysia? Ini penting untuk tujuan keterbukaan.
(iv) Adakah Laporan Tahunan Tourism Malaysia untuk tahun 2018 telah siap dan dibentangkan di Parlimen?
Sekian, terima kasih.
2.39 ptg.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya [Datuk Dr. Jeffrey Kitingan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kota Melaka. Yang Berhormat telah membangkitkan dua perkara. Satu mengenai strategi menggalakkan pelancongan pasca COVID-19 dan yang kedua isu mengenai tadbir urus.
Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun 2020 Tourism Malaysia telah diperuntukkan di bawah geran mengurus sejumlah RM190 juta. Manakala peruntukan di bawah Program Khusus Penggalakan Pemasaran, Promosi dan Acara sebanyak RM140 juta dengan pecahan RM50 juta untuk pengiklanan dan RM90 untuk kempen Visit Malaysia 2020.
Tourism Malaysia dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji semula peruntukan belanjawan tertakluk kepada kemajuan semasa pelaksanaan projek mahupun program atau aktiviti. Tindakan sedemikian lebih ketara dilakukan apabila berlakunya penularan wabak COVID-19 ini.
Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, kejayaan Malaysia dalam membendung penularan pandemik COVID-19 ini telah membolehkan pengoperasian semula sektor pelancongan domestik, bermula 10 Jun 2020 dan ini sekali gus telah memberi nafas lega kepada rakyat di negara ini, terutamanya penggiat industri pelancongan untuk melancarkan semula aktiviti pelancongan yang telah terjejas ketika tempoh PKP dan PKPB.
Bagi memastikan industri pelancongan kembali cergas, kementerian telah merangka Pelan Pemulihan Pelancongan, Seni dan Kebudayaan melalui lima strategi iaitu:
(i) memulihkan kembali keyakinan orang awam untuk kembali melancong melalui Kempen Malaysia Bersih dan Selamat;
(ii) merancakkan semula pelancongan domestik;
(iii) meneroka potensi ketibaan pelancong asing melalui pelancongan rentas sempadan (cross border tourism) seperti mengadakan gelembung perjalanan (travel bubble) dengan negara-negara jiran atau negara-negara zon hijau yang dikenal pasti hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri;
(iv) memberi keutamaan kepada segmen yang telah dibenarkan oleh kerajaan seperti pelancongan kesihatan, taman tema dan MICE; dan
(v) memaksimumkan sumber yang sedia ada melalui kerjasama dengan pelbagai agensi.
Pada peringkat permulaan, MOTAC telah melaksanakan tiga tindakan utama iaitu:
(i) menggalakkan rakyat kembali melancong dalam menyemarakkan semula industri pelancongan domestik melalui tawaran-tawaran oleh penggiat industri pelancongan seperti perhotelan dan sebagainya;
(ii) menggerakkan semula produk-produk dan aktiviti-aktiviti di bawah sektor pelancongan untuk kembali menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi negara; dan
(iii) supaya komuniti pelancongan mengamalkan pembudayaan baru dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebagai norma baharu aktiviti pelancongan di Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang isu yang kedua mengenai tadbir urus Tourism Malaysia. Berhubung dengan kes-kes yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, kementerian ini percaya bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dan sedang melaksanakan proses siasatan ke atas kes-kes tersebut dengan telus dan adil.
Kementerian memandang serius akan hal ini dan berpandangan bahawa peraturan perolehan dan kewangan serta sistem prosedur kerja boleh diperbaiki agar kecekapan dan keberkesanan operasi di jabatan dapat dipertingkatkan serta membendung perkara-perkara sebegini agar tidak berulang.
Lanjutan daripada pemerhatian Laporan Ketua Audit Negara tahun 2018 mengenai prestasi kewangan Tourism Malaysia yang mencatat liabiliti yang dikatakan oleh Yang Berhormat, liabiliti bersih sebanyak RM56.06 juta. Sebenarnya ini angka yang sebenar ya, RM56.06 juta, bukan RM56.59 juta.
Tourism Malaysia telah mengambil tindakan susulan sewajarnya bagi memperbaiki prestasi kewangan pada tahun 2019. Hasil daripadanya, pada tahun 2019 Tourism Malaysia telah berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan iaitu pendapatan bersih selepas cukai sebanyak RM75.41 juta.
Selain itu, satu jawatankuasa siasatan dalaman juga telah ditubuhkan pada bulan Jun 2019 yang dianggotai oleh wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia. Pada dasarnya, siasatan tersebut dilaksanakan untuk meneliti sekiranya terdapat kelemahan dalam proses ketidakpatuhan peraturan perolehan dan kewangan.
Keduanya, mengenal pasti jenis ketidakpatuhan peraturan perolehan dan kewangan sekiranya ada sama ada berpunca daripada kecuaian pegawai, wujud penyelewengan atau salah guna kuasa atau kelemahan pentadbiran itu sendiri. Keempat, membuat cadangan penambahbaikan bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran serta memperkemaskan sistem prosedur kerja yang sedia ada.
Tuan Yang di-Pertua, dalam usaha untuk memperkukuhkan tadbir urus yang berkualiti dan berkesan serta bagi mewujudkan warga kerja yang amanah, berhemah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan organisasi dan jabatan, kementerian ini akan terus melaksanakan strategi-strategi yang telah dirangka bagi meningkatkan kesedaran dan tahap integriti di kalangan kakitangan di kementerian ini. Antaranya:
(i) memantapkan keberkesanan tadbir urus terbaik melalui pelaksanaan mesyuarat berkala bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu atau masalah dan membincangkan langkah-langkah penambahbaikan;
(ii) meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dengan memberi penekanan kepada penggunaan aplikasi teknologi maklumat serta memperkukuhkan prosedur perolehan dan pembekalan perkhidmatan;
(iii) melaksanakan program kesedaran memerangi jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta meningkatkan integriti; dan
(iv) perkara-perkara yang dibincangkan di peringkat jabatan juga akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah di peringkat kementerian yang memantau tiga aspek iaitu integriti, tadbir urus dan salah guna atau salah laku guna kuasa atau rasuah.
Tuan Yang di-Pertua, dalam pada itu saya ingin menegaskan dakwaan Ahli Yang Berhormat, bahawa maklumat keputusan tender dan sebut harga yang tidak lagi dipamerkan di laman web Tourism Malaysia adalah tidak tepat dan tidak benar. Semua keputusan tender dan sebut harga yang dilaksanakan oleh Tourism Malaysia dimaklumkan di papan kenyataan dan laman web Tourism Malaysia www.perolehan.tourism.gov.my dalam tempoh dua minggu berpandukan kepada kaedah perolehan kerajaan atau PK 2.1.
Mengenai Laporan Tahunan Tourism Malaysia 2018, sukacita dimaklumkan bahawa laporan ini dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 tahun 2020 di Dewan Rakyat. Sekian, terima kasih.

