(Melaka, 11) Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyeru semua pihak, termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri, MCA, dan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin agar menolak Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker serta elakkan bersekongkol dengan kluster mahkamah bagi menunjukkan usaha kerajaan dalam melaksanakan reformasi Parlimen.
Dalam kenyataan hari ini, Khoo Poay Tiong menyatakan bahawa oleh sebab Perdana Menteri telah mengumumkan semalam bahawa Kabinet bersetuju untuk melaksanakan tujuh tawaran dalam merealisasikan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, maka semua usul reformasi dan transformasi tersebut perlu mula diundi mulai Selasa depan.
Tambah beliau, pemilihan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat telah pun bermula dan adalah lebih baik untuk tidak mencalonkan Ahli Parlimen yang terlibat dengan tuntutan mahkamah untuk jawatan tersebut.
“Dalam usaha Perdana Menteri menunjukkan kesungguhan perlaksanaan agenda ini, ianya boleh dimulai dengan jawatan Timbalan Speaker. Perlantikan ini boleh dianggap sebagai titik permulaan. Ismail Sabri harus menolak mencalonkan Ahmad Maslan untuk jawatan ini memandangkan kes mahkamah yang dihadapi beliau masih belum selesai.”
Khoo Poay Tiong juga menuntut agar dua anggota Parlimen MCA, Wee Ka Siong dan Wee Jeck Seng seharusnya memiliki autonomi untuk memilih Nga Kor Ming dan bukannya menyokong Ahmad Maslan yang masih terlibat dengan pertuduhan di mahkamah.
“Sekiranya MCA terus menyokong Ahmad Maslan, ia hanya akan menonjolkan bahawa MCA adalah boneka UMNO, malah akan memalukan pengundi yang memilih untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan kumpulan penyamun pada pilihan raya ke-14.”
Dalam masa yang sama, Khoo Poay Tiong juga meminta bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional menolak Ahmad Maslan dalam sesi pemilihan Selasa depan dan sebaliknya mengundi Nga Kor Ming kerana sebelum ini Muhyiddin sendiri berulang kali menolak “kluster mahkamah”, jadi kali ini ia harus selari dengan kata-kata dan perbuatan.
Khoo Poay Tiong juga menekankan bahawa prestasi Nga Kor Ming semasa memegang jawatan sebagai timbalan speaker dalam 22 bulan terakhir adalah jelas bagi semua. Sekiranya beliau berjaya dipilih, beliau pasti akan membawa kesuburan kepada reformasi parlimen negara kita, dan masa depan akan menjadi lebih baik.