
Ahli Parlimen P136 Tangga Batu
Ahli Parlimen P137 Hang Tuah Jaya
Ahli Parlimen P138 Kota Melaka
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Urusetia EIA, Bahagian Penilaian
Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Kementerian Alam Sekitar dan Air
Level 1, Podium 3, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4,
62574 Putrajaya.
24 Disember 2021.
Tuan/Puan,
Bantahan terhadap Laporan EIA untuk projek Tambak Laut seluas 300 ekar di Pekan Klebang, Seksyen 1, Bandar XLIV, Daerah Melaka Tengah, Melaka.
Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bertarikh 4 Oktober 2021 untuk projek Tambak Laut seluas 300 ekar di Pekan Klebang, Seksyen 1, Bandar XLIV, Daerah Melaka Tengah, Melaka.
- Kami sebagai ahli-ahli parlimen di Melaka menyatakan bantahan terhadap laporan EIA tersebut berdasar sebab-sebab berikut:
i) Kelulusan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN):
Rancangan Fizikal Negara ke-3 (RFN3) menyatakan dua syarat untuk kelulusan aktiviti penambakan dan tebus guna tanah iaitu: (a) perancangan tersebut perlu dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan negeri; dan (b) aktiviti penambakan dan tebus guna tanah yang dicadangkan hendaklah dirujuk kepada MPFN sebelum diberi kelulusan (m/s4-77).
Kami membantah pandangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Melaka bahawa kelulusan daripada MPFN tidak diperlukan kerana projek tambakan laut telah ditandakan di dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN). Ini adalah kerana RSN hanyalah menandakan zon pembangunan dan tambakan secara am. RSN tidak menandakan dan meluluskan dengan spesifik lokasi tambakan dan aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan.
Maka, projek ini seharusnya dirujuk kepada MPFN secara spesifik untuk kelulusan bagi memenuhi syarat dalam RFN3.
ii) Tiada Keperluan dan sumbangan sosioekonomi
RFN3 menyatakan bahawa sebarang aktiviti penambakan dan tebus guna tanah tidak dibenarkan kecuali dimana: (a) Keperluan serta manfaat aktiviti tersebut dapat dibuktikan dengan jelas dalam memberi sumbangan sosioekonomi yang signifikan pada peringkat negeri dan negara (seperti pembangunan infrastruktur); dan (b) tidak menjejaskan alam sekitar secara signifikan.
Laporan EIA ini tidak membuktikan dengan jelas sumbangan sosioekonomi dan manfaat kepada penduduk setempat. Berdasarkan pengalaman sedia ada, terdapat projek tambakan yang telah gagal sebelum ini seperti projek Melaka Gateway. Selain itu, bangunan-bangunan komersial yang dibangunkan di tanah tambakan sedia ada juga sedang menghadapi masalah kelangsungan.
Oleh itu, pihak pemaju dan kerajaan negeri perlu menjalankan kajian terperinci mengenai manfaat dan sumbangan sosioekonomi projek ini sebelum laporan EIA boleh diluluskan.
iii) Kawasan Pendaratan Penyu
RFN3 dengan jelas menyatakan bahawa aktiviti penambakan dan tebus guna tanah tidak dibenarkan di kawasan sensitif alam sekitar (m/s 4-77). Ini termasuklah kawasan pendaratan penyu yang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 (m/s 4-23).
Oleh itu, projek tambakan laut ini tidak boleh diluluskan kerana ia adalah terlalu dekat dengan Pulau Upeh yang merupakan salah satu kawasan pendaratan penyu. Langkah mitigasi yang dicadangkan adalah tidak mencukupi kerana pernah dicadangkan sebelum ini di projek-projek tambakan lain yang berhampiran dengan Pulau Upeh. Laporan EIA ini dan Rancangan Struktur Negeri (RSN) telah mengakui bahawa projek tambakan laut yang lalu telah memberi kesan kepada pendaratan penyu walaupun langkah-langkah mitigasi yang sama telah dilaksanakan.
Rancangan Tempatan MBMB menyatakan bahawa perlu adanya zon penampanan sejauh 500m daripada Pulau Upeh, tetapi had ini jelas tidak mencukupi kerana projek-projek tambakan terdahulu telah menjejaskan jumlah penyu yang mendarat di Pulau Upeh, sepertimana yang diakui dalam laporan EIA ini.
iv) Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ)
Projek tambakan yang dinyatakan dalam laporan EIA adalah terangkum dalam zon pembangunan MWEZ. Mesyuarat MPFN (Bil.3/2021) yang bersidang pada 5 Julai 2021 hanya bersetuju secara dasar untuk zon pembangunan MWEZ, tetapi syarat-syarat telah dikenakan.
Antara syarat-syarat tersebut adalah: (a) menyediakan satu kajian khas dan pelan mitigasi untuk para nelayan yang terjejas; (b) laporan impak terhadap sungai-sungai; (c) mengambil langkah-langkah perlindungan terhadap pendaratan penyu; (d) mendapat persetujuan daripada Majlis Tindakan Ekonomi dan Jemaah Menteri.
Laporan EIA ini perlu mengenal pasti sama ada syarat-syarat tersebut telah dipenuhi oleh kerajaan negeri kerana merupakan sebahagian daripaka MWEZ. Jika tidak, projek ini tidak boleh diluluskan kerana zon pembangunan MWEZ adalah tertakluk kepada syarat-syarat tersebut.
v) Laporan EIA Macro
Kerajaan negeri bersama dengan para pemaju perlu menyediakan Laporan EIA di peringkat macro untuk keseluruhan projek tambakan laut di pesisir pantai negeri Melaka, khasnya untuk zon pembangunan MWEZ.
Ini adalah supaya impak alam sekitar boleh dinilai secara keseluruhan. Kesan keseluruhan ini tidak dapat dinilai melalui laporan-laporan EIA yang berasingan untuk setiap projek.
Kementerian Alam Sekitar dan Air telah menyatakan melalui jawapan bertulis di parlimen bahawa mereka belum menerima sebarang laporan EIA untuk projek MWEZ.
Oleh itu, laporan EIA untuk projek 300 ekar ini tidak boleh diluluskan sehingga laporan EIA macro disiapkan dan kesan alam sekitar dalam dinilai secara keseluruhan.
vi) Kesan alam sekitar
Kami telah menerima pelbagai aduan daripada masyarakat setempat mengenai kesan projek-projek tambakan laut di sepanjang pesisir pantai Klebang, Limbongan, dan Ujong Pasir.
Antara lain, kawasan perikanan telah teruk terjejas dan pelan mitigasi pihak pemaju dan kerajaan negeri jelas tidak berkesan. Selain itu, keselamatan nelayan juga terancam kerana kadar trafik marin telah bertambah. Di kawasan persekitaran Klebang juga terdapat tumpahan minyak dan beberapa kapal yang terbengkalai.
Impak-impak ini turut diperakui dalam laporan EIA tersebut, dan langkah-langkah mitigasi yang dicadangkan adalah tidak mencukupi.
vii) Sumber pasir
Laporan EIA menyatakan bahawa sumber pasir untuk projek tambakan tersebut telah dikenalpasti, iaitu 8.6km daripada tapak projek. Namun, laporan tersebut tidak menjelaskan sama ada syarikat pembekal pasir telah menjalankan dan mendapatkan kelulusan untuk aktiviti melombong pasir tersebut, memandangkan aktiviti melombong pasir juga memerlukan EIA.
viii) Kesan kepada aliran sungai dan risiko banjir
Para penduduk telah mengemukakan aduan mengenai banjir kilat yang semakin kerap berlaku di bandar Melaka. Antara sebabnya adalah kerana projek-projek tambakan laut telah mengganggu aliran air hujan dan sungai.
Laporan EIA ini tidak merangkumi kajian mendalam mengenai kesan tambakan kepada aliran sungai dan risiko banjir. Memandangkan ini adalah perkara yang memberi kesan besar kepada penduduk tempatan, kajian terhadap risiko banjir perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
ix) Impak Warisan
Kawasan projek tambakan adalah bertindih dengan kawasan yang telah diwartakan sebagai Zon yang Dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Surat daripada Pesuruhjaya Warisan bertarikh 31 Mei 2021 menyatakan bahawa pihak pemaju perlu “melaksanakan penelitian lanjut / survei semula” (perkara 3.1) berdasarkan perjumpaan awal laporan impak warisan. Namun, pihak pemaju tidak mematuhi arahan ini berdasarkan surat maklum balas mereka bertarikh 25 Jun 2021.
Surat daripada Pesuruhjaya Warisan bertarikh 6 September 2021 dengan jelas mengenakan beberapa syarat, iaitu sistem pemantauan ke atas impak hakisan perlu dinyatakan dan dimasukkan ke dalam laporan EIA (perkara 3.3 dan 3.4). Namun, laporan EIA ini menyatakan bahawa “since no significant effects are identified, no mitigation actions are required” (ms 8-26) dan tidak melampirkan pelan pemantauan terhadap hakisan sepertimana yang disyaratkan oleh Pesuruhjaya Warisan.
Oleh itu, arahan dan syarat yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Warisan telah gagal dipatuhi dalam laporan EIA ini.
Selain itu, laporan EIA juga tidak mengambil kira faktor bahawa Pulau Upeh merupakan khazanah warisan tidak ketara (intangible heritage) yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
x) Sumbangan kepada Tabung Pemuliharaan Pesisiran Pantai
Rancangan Struktur Negeri (RSN) pada m/s 6.1-37 menyatakan bahawa untuk segala pembangunan tambak laut dan tebus guna, pemaju diwajibkan memberi sumbangan kepada Tabung Pemuliharaan Pesisiran Pantai sebelum penambakan dijalankan. Laporan EIA ini tidak menjelaskan sama ada pihak memaju telah memenuhi syarat ini.
- Maka berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan di atas, kami membantah Laporan EIA tersebut dan menyeru supaya Jabatan Alam Sekitar tidak meluluskannya.
Sekian, terima kasih.
Yang Benar,
YB RUSNAH BINTI ALUAI
Ahli Parlimen P136 Tangga Batu
YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR
Ahli Parlimen P137 Hang Tuah Jaya
YB KHOO POAY TIONG
Ahli Parlimen P138 Kota Melaka


 
                     
                     
                     
                     
                     
                     
                    