Pada minggu ini, saya telah mengirimkan maklum balas kepada syarikat pengusaha dan Kerajaan Negeri Melaka mengenai aplikasi SmartParking Melaka yang dilancarkan awal tahun ini. Maklum balas tersebut adalah berdasarkan pendapat yang diberikan oleh para penduduk dan pengguna di Melaka kepada saya.
Secara ringkasnya, isu-isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk adalah mengenai: pengenaan caj servis, kadar top-up yang terlalu tinggi, masalah pendaftaran, dan kekurangan promosi untuk menggalakkan orang ramai menggunaka aplikasi tersebut. Dilampirkan bersama kenyataan media ini ialah salinan surat tersebut dengan maklumat terperinci.
Saya mengalu-alukan penggunaan aplikasi SmartParking Melaka ini kerana ia memudahkan penduduk untuk membayar parking. Ia juga adalah selaras dengan visi Kerajaan negeri Melaka untuk mewujudkan bandar yang pintar, hijau, dan bersih.
Oleh itu, saya memohon supaya maklum balas dan cadangan-cadangan yang dikemukakan ini akan diberi perhatian yang sepatutnya supaya ditambahbaik penggunaannya.
Saya juga menyarankan agar penduduk-penduduk di Melaka menggunakan aplikasi ini secara lebih meluas. Sebarang maklum balas tambahan boleh diutarakan kepada syarikat pengusaha atau pejabat saya.
YB Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Lampiran
Panduan Emas Sdn Bhd
1.01, Wisma Westcourt, 126,
Jalan Kelang Lama 58000 Kuala Lumpur
Tel: 03 7980 1020
Fax: 03 7980 0986
Emel: panduanemas@gmail.com, pesbmlk@yahoo.com
10 Julai 2018
Tuan/Puan
Maklum Balas Mengenai Aplikasi SmartParking Melaka
Dengan segala hormatnya, saya merujuk kepada aplikasi SmartParking yang telah dilancarkan dan digunapakai di Melaka.
2. Pada bulan lepas, saya telah mengumpulkan maklum balas daripada penduduk-penduduk di kawasan saya mengenai penggunaan aplikasi tersebut. Ringkasan maklum balas dan cadangan-cadangan penambahbaikan yang diterima adalah seperti berikut:
2.1 Memudahkan transaksi
Aplikasi SmartParking memudahkan pengguna untuk membayar parking kerana tidak perlu lagi membeli dan menggores kupon parking. Ia juga selaras dengan visi Kerajaan Negeri Melaka untuk mewujudkan bandar yang pintar, hijau, dan bersih.
2.2 Masalah pendaftaran
Banyak pengguna mengadu bahawa semasa proses pendaftaran untuk menggunakan aplikasi tersebut, emel pengesahan untuk mengaktifkan akaun mereka tidak terima, atau hanya diterima selepas beberapa jam. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menggunakan aplikasi tersebut.
Cadangan: Memperbaiki sistem pendaftaran dan pengesahan emel; atau menggunakan teknologi “quick-login” menggunakan akaun Google emel atau Facebook supaya tidak perlu proses pendaftaran.
2.3 Caj servis
Caj RM1.00 dikenakan untuk setiap transaksi top-up. Perkara ini membebankan pengguna dan tidak selaras dengan penjimatan kos pencetakan kupon.
Cadangan: Caj servis dibiayai oleh syarikat atau pihak kerajaan, dan dikurangkan.
2.4 Kadar top-up yang terlalu tinggi
Pengguna hanya mempunyai pilihan untuk top-up sebanyak RM20 atau RM50. Ini adalah terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk pengguna dari luar negeri yang tidak memerlukan top-up parking yang sebegitu banyak.
Cadangan: Meluaskan pilihan kadar top-up untuk RM5 dan RM10 atau dalam bentuk “pay-on-demand” berdasarkan penggunaan.
2.5 Kekeliruan memilih kawasan PBT
Pengguna keliru kerana perlu memilih kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana mereka meletak kereta. Kebanyakkan pengguna, khasnya dari luar negeri Melaka tidak tahu sempadan kawasan PBT.
Cadangan: Memansuhkan keperluan memilih kawasan PBT; atau buat nota penerangan bahawa ia adalah optional; atau aplikasi menentukan kawasan PBT secara automatik berdasarkan kedudukan GPS telefon.
2.6 Pas bulanan
Terdapat penduduk-penduduk tempatan yang memohon supaya pas parking bulanan boleh dibeli atau diperbaharui melalui aplikasi SmartParking. Ini boleh menjimatkan masa penduduk supaya tidak perlu pergi ke pejabat PBT untuk mendapatkan pas parking bulanan.
Cadangan: Membolehkan pas parking bulanan dibeli atau diperbaharui melalui aplikasi SmartParking. Caj parking bulanan juga perlu dikaji dan diselaraskan semula supaya mengambil kira pemansuhan caj parking pada hari Sabtu dan Ahad (untuk tindakan PBT).
2.7 Kadar penggunaan yang rendah
Berdasarkan website Google Play, aplikasi SmartParking Melaka hanya dimuat turun sebanyak 5000+ kali. Ini menunjukkan bahawa aplikasi ini tidak digunakan secara meluas oleh penduduk walaupun ia lebih mudah.
Cadangan: Membanyakkan papan tanda untuk mempromosikan aplikasi ini; dan mengiklankan aplikasi melalui media social; dan menjalankan kempen diskaun untuk menarik minat pengguna.
2.8 Cadangan-cadangan lain
Penyata perbelanjaan – Pengguna memohon supaya penyataan transaksi atau bulanan boleh dimuatturun dalam format PDF. Ini memudahkan pengguna-pengguna yang perlu membuat tuntutan bayaran balik daripada majikan.
Menambahbaik “User Interface” (UI) – manaiktaraf UI dari masa ke semasa supaya lebih mesra pengguna. (contoh aplikasi di Singapura).
3. Maka, saya memohon supaya maklum balas dan cadangan-cadangan ini akan diberi perhatian yang sepatutnya supaya dapat membantu memperbaiki aplikasi SmartParking Melaka.
Sekian, terima kasih
Yang Benar,
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

