Kenyataan media
9 Januari 2020
Najib Razak dan Dzulkifli Ahmad mesti disiasat dengan segera atas kesalahan mensabotaj negara
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus disokong atas keberanian mereka dalam mendedahkan rakaman audio yang menunjukkan konspirasi Najib Razak menutup skandal 1MDB.
Perkara yang paling menjijikkan adalah tindakan Dzulkifli Ahmad yang telah mengkhianati integriti dan amanah sebagai seorang penjawat awam. Dzulkifli Ahmad telah gagal mempertahankan kepentingan negara dan lebih sanggup menjadi budak suruhan Najib Razak.
Dalam rakaman video tersebut, Dzulkifli telah memberitahu Najib bahawa “bila saya tengok, saya macam nak menangis… tapi itu tak ada masalah… dari segi legal side, kita oleh uruskan… Tan Sri Apandi boleh handle, saya boleh uruskan…”
Rakaman audio tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa Dzulkifli merupakan pengkhianat yang telah membocorkan maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada suspek penyiasatan iaitu Najib Razak. Tindakan ini adalah suatu salah laku jenayah yang amat serius dan tindakan mesti diambil terhadap Dzulkifli Ahmad secepat mungkin.
Rakaman tersebut juga membuktikan bahawa Najib Razak telah melantik Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai ganjaran. Tindakan mereka telah merosakkan kredibiliti dan kebolehan SPRM untuk berfungsi dengan baik.
Semua perkara ini telah membawa kemudaratan kepada negara kita. Institusi politik negara telah menjadi lemah dan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.
Sehingga hari ini, kita masih lagi perlu menanggung kesan ekonomik daripada skandal 1MDB. Untuk tahun 2020, kerajaan perlu memperuntukkan RM2.7bil untuk membayar hutang 1MDB, dan selama 20 – 30 tahun lagi diperlukan untuk membayar balik hutang 1MDB sepenuhnya.
Oleh itu, Najib Razak dan Dzulkifli Ahmad perlu disiasat dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mensabotaj negara.
Khoo Poay Tiong
MP Kota Melaka

