Kenyataan Media
2 January 2019
Laporan Perbelanjaan Peruntukan Pusat Khidmat Rakyat Kota Melaka 2019
Sebagaimana yang kita sedia maklum, setiap ahli parlimen diberi peruntukan oleh kerajaan persekutuan untuk menjalankan program dan projek di kawasan masing-masing.
Peruntukan ini berperanan sebagai pelengkap kepada rancangan pembangunan kerajaan. Ini membolehkan masalah dan keperluan rakyat setempat diselesaikan secara berkesan dan cekap. Peruntukan tersebut juga menyokong aktiviti-aktiviti oleh penduduk setempat yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang ramai.
Pusat Khidmat Rakyat Kota Melaka menitikberatkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Oleh itu, perbelanjaan ini dipantau oleh Jabatan Perdana Menteri dan laporan perbelanjaan dibentangkan setiap tahun secara terbuka untuk penilaian orang ramai.
Untuk tahun 2019, jumlah perbelanjaan peruntukan untuk kawasan Kota Melaka ialah sebanyak RM3,499,769. Ringkasan perbelanjaan adalah seperti berikut:

(1) Infrastruktur Banjir (RM1,735,859: 50%)
21 projek telah dijalankan untuk membaikpulih dan memperbaiki jalan raya, sistem perparitan, dan longkang. Projek-projek ini dijalankan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk banjir seperti di Taman Merdeka, persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz Kota Laksamana, Kampung Balai Panjang, dan Tengkera Pantai.
(2) Agama & Kebudayaan (RM659,087: 19%)
Peruntukan disalurkan secara adil dan berkadar kepada semua kaum dan agama untuk menjalankan aktiviti masing-masing. Pecahan penerima adalah: 37 surai dan masjid, 45 persatuan dan rumah ibadat Cina, dan 7 persatuan dan rumah ibadat Hindu dan Christian.
(3) Pendidikan (RM285,910: 8%)
Sebanyak RM105,400 diperuntukkan kepada 15 Sekolah Kebangsaan, RM127,310 kepada 13 Sekolah Jenis Kebangasaan Cina dan Tamil, dan RM53,200 kepada universiti awam dan persatuan-persatuan. Peruntukan digunakan untuk memperbaiki bangunan sekolah, membeli peralatan, dan menganjurkan program-program untuk para pelajar. Pusat Khidmat Rakyat Kota Melaka turut menjalankan kelas tuisyen percuma untuk pelajar-pelajar sekolah rendah.
(4) Kesihatan (RM215,100: 6%)
Peruntukan untuk membeli 10 kerusi dan 5 mesin hemodialisis untuk Hospital besar Melaka bagi menggantikan mesin-mesin yang lama dan membolehkan lebih ramai pesakit menerima rawatan.
(5) Kebajikan (RM305,845: 9%)
Pelbagai bantuan kebajikan dan kecemasan untuk golongan berkeperluan seperti mangsa bencana alam, rawatan perubatan, dan keluarga miskin tegar. Jumlah penerima adalah 667 orang/keluarga dan 20 badan amal dan kebajikan.
(6) Kemasyarakatan (RM297,969: 8%)
Peruntukan kepada NGO-NGO, MPKK, dan agensi-agensi kerajaan untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat awam kepada komuniti di Kota Melaka. Jumlah penerima adalah sebanyak 137 organisasi. Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Karnival Sukan Kota Melaka.
Untuk tahun 2020, Pusat Khidmat Rakyat Kota Melaka akan terus menyokong projek-projek dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat.
Selain itu, suatu program Geran Komuniti Kota Melaka akan dilancarkan. Organisasi-organisasi yang berminat boleh memohon geran tersebut untuk menjalankan aktiviti atau projek yang membawa kesan positif kepada komuniti setempat di kawasan Kota Melaka.
Geran Komuniti Kota Melaka akan mengutamakan projek dan aktiviti yang sejajar dengan dasar kerajaan persekutuan dan negeri, iaitu dalam bidang:
• Pelancongan dan pemuliharaan warisan
• Teknologi Digital dan Smartcity
• Pemberdayaan sosio-ekonomi
• Kerajaan bersih dan hak asasi
• Alam sekitar
Maklumat lanjut mengenai Geran Komuniti Kota Melaka boleh dicapai di laman sesawang www.kotamelaka.com/geran
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

