PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG ( KOTA MELAKA ) minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN menyatakan :-
(a) jumlah permohonan diterima dan jumlah pembayaran dibuat untuk subsidi penternak ayam untuk bulan Mac, April, Mei dan Jun 2022 (secara berasingan); dan
(b) apakah sebab dan rasional Kerajaan menghentikan skim subsidi ini.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula dari 5 Februari 2022 sehingga 30 Jun 2022 dengan peruntukan sebanyak RM730 juta. Pada 29 Jun 2022, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh pemberian subsidi yang berakhir pada 30 Jun 2022 sehingga 31 Ogos 2022. Jumlah peruntukan tambahan disediakan sebanyak RM369.5 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan subsidi untuk penternak ayam sebanyak RM1.1 bilion.
Kadar pemberian subsidi untuk ayam pedaging ialah RM0.60 per kilogram untuk tempoh 5 Februari 2022 hingga 30 Mac 2022. Seterusnya Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar subsidi kepada RM1.40 per kilogram bermula 1 April sehingga 30 Jun 2022. Manakala bagi penternak ayam telur pula, kadar pemberian subsidi ialah RM0.05 sebiji bermula 5 Februari hingga 30 Jun 2022 bagi telur gred A, B dan C. Bermula 1 Julai 2022, harga subsidi yang diluluskan ialah RM1.20 per kilogram bagi ayam pedaging dan RM0.03 sebiji bagi telur gred A, B, dan C.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah memproses permohonan subsidi sejak 28 Februari 2022. Setakat 29 Julai 2022, sebanyak 8,970 permohonan subsidi telah diluluskan berjumlah RM748 juta.
Bagi mendapatkan subsidi ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menyediakan tatacara permohonan seperti mekanisma berikut:
(i) penternak ayam pedaging dan penelur perlu mengemukakan permohonan secara online kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) melalui laman sesawang www.unggasdvs.my;
(ii) semakan dan verifikasi ke atas permohonan tersebut akan dibuat di peringkat DVS Negeri, manakala kelulusan permohonan akan ditentukan di peringkat ibupejabat menerusi Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Ayam dan Telur.
(iii) bagi permohonan yang diluluskan, pembayaran subsidi akan dilaksanakan oleh Agrobank sebagai bank pembayar kepada akaun pemohon dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
Sekian, terima kasih.

