Saya dimaklumkan bahawa seorang guru dari sebuah sekolah di Kota Melaka telah disahkan positif Covid-19. Semua guru dan pelajar yang mempunyai kontak rapat dengan beliau telah diminta untuk kuarantin sambil menunggu arahan lanjut daripada jabatan kesihatan.
Sepertimana yang kita maklum, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan kelas bersemuka untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti SPM dan STMP. Pelajar-pelajar ini sepatutnya menduduki peperiksaan pada tahun lepas, tetapi telah peperiksaan tersebut ditunda kepada suku pertama tahun 2021.
Dasar untuk mengadakan kelas secara bersemuka sudah tentu akan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19, sepertimana yang telah berlaku di sebuah sekolah di Melaka ini.
Namun, pada masa yang sama, aspek pendidikan pelajar yang perlu menduduki peperiksaan awam juga sangat penting. Peperiksaan seperti SPM dan STPM akan memberi kesan besar kepada masa depan mereka.
Sepanjang tahun lepas, kumpulan pelajar ini terpaksa belajar secara online dan ini sudah pasti kurang berkesan. Maka, kelas bersemuka selama 1-2 bulan ini mungkin memainkan peranan yang penting dari segi persediaan akhir untuk menghadapi peperiksaan awam nanti.
Kementerian Pendidikan harus mengetatkan SOP untuk semua sekolah supaya risiko kesihatan boleh dikawal. Saya mencadangkan tiga langkah yang wajar dilaksanakan dengan segera:
(1) Mewajibkan saringan Covid-19 untuk semua pelajar dan guru yang perlu menghadiri kelas bersemuka. Saringan ini perlu dijalankan setiap dua minggu;
(2) Kelas-kelas perlu dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil dan dijalankan dalam masa persekolahan yang lebih panjang untuk menurunkan risiko penyebaran virus; dan
(3) Sekolah-sekolah perlu dinyahkuman (sanitise) setiap hari.
Beberapa ibubapa juga telah menyatakan kerisauan dan ketakutan mereka untuk membenarkan anak-anak mereka untuk pulang ke sekolah. Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon, telah berkata bahawa ibubapa yang risau boleh memilih untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Namun, pelajar yang memilih untuk tidak menghadiri sekolah diminta untuk belajar sendiri di rumah kerana kelas Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) tidak akan dilaksanakan lagi. Ini adalah tidak adil untuk para pelajar tersebut kerana ia bermaksud mereka perlu memilih antara kesihatan dan pendidikan.
Kementerian Pendidikan harus melaksanakan PdPR serentak dengan kelas bersemuka supaya para pelajar yang memilih untuk tinggal di rumah tidak ketinggalan dari segi pembelajaran.
Khoo Poay Tiong
MP Kota Melaka

