Kenyataan Media
2 April 2020
Pendaftaran MySalam patut dilanjutkan
MySalam ialah skim perlindungan kesihatan nasional yang telah diperkenalkan oleh Pakatan Harapan pada tahun 2018.
Melalui skim ini, mereka yang tiba-tiba menghidap penyakit kritikal akan menerima bayaran tunai sebanyak RM4,000 atau RM8,000 bergantung kepada tahap pendapatan. Penerima juga boleh menuntut bayaran hospitalisasi, iaitu RM50 sehari untuk maksima 14 hari.
Oleh itu, MySalam merupakan suatu program penting kerana ia sangat memanfaatkan rakyat, terutamanya golongan B40. Skim ini memberikan jaring keselamatan yang meringankan beban kewangan jika mereka terkena penyakit kritikal.
Skim ini pada asalnya hanya meliputi isu rumah B40, tetapi mulai tahun ini, ia telah diperluaskan kepada golongan M40, iaitu mereka yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. Golongan M40 ini perlu mendaftarkan diri di laman sesawang MySalam (www.mysalam.com.my) berhak menuntut.
Proses pendaftaran telah tamat pada 31 Mac 2020. Akan tetapi, laman sesawang untuk pendaftaran gagal berfungsi dari 29 Mac 2020 – 31 Mac 2020. Hotline telefon juga tidak dapat dipanggil.
Akibatnya, ramai individu yang layak telah gagal untuk mendaftarkan diri mereka untuk skim MySalam, walaupun mereka telah berkali-kali cuba untuk masuk ke laman sesawang tersebut sebelum tarikh tutup pendaftaran.
Pejabat saya telah menerima ratusan pangilan dan mesej mengenai isu ini. Ramai yang kecewa kerana tidak dapat daftar.
Maka, saya menyeru supaya kerajaan dan Great Eastern Holdings, sebagai pengendali skim MySalam, untuk melanjutkan tempoh pendaftaran MySalam untuk golongan M40. Tempoh pendaftaran patut dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 15 April 2020.
Kerajaan dan Great Eastern Holdings wajar menunaikan janji untuk memberi perlindungan kesihatan ini kepada mereka yang layak. Mereka yang layak ini tidak harus dihukum. Kegagalan laman sesawang MySalam untuk berfungsi pada saat-saat genting bukan salah mereka.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

