Kenyataan Media
1 April 2020
Isu air di Melaka perlu pemantauan dan penyelesaian berterusan
Catuan air di Melaka telah ditamatkan pada 1 April 2020. Langkah ini amat dialu-alukan memandangkan rakyat sedang menghadapi wabak Covid-19 dan pihak industri mengalami pelbagai kerugian.
Pada 28 Mac 2020, dilaporkan paras air di Empangan Durian Tunggal ialah 40% (12,620 juta liter), Empangan Jus ialah 23% (9,975 juta liter), dan Empangan Asahan ialah 72.8% (507 juta liter). Jelas, paras air telah meningkat ekoran kadar hujan yang lebih banyak kebelakangan ini.
Walaubagaimanapun, saya menyeru kepada semua pihak supaya terus prihatin dan berwaspada dalam isu ini.
Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, masalah bekalan air mentah di Melaka berpunca daripada faktor-faktor struktural dan jangka masa panjang, khususnya kegagalan untuk merancang dan mengendalikan aset-aset air dengan berkesan.
Sebagai contoh, empangan terbaharu di Melaka, iaitu Empangan Jus, dibina pada tahun 2003. Sejak itu, tiada pembangunan utama di Melaka untuk meningkatkan bekalan air mentah. Empangan Jernih yang sepatutnya dibina sejak tahun 2012 tidak terlaksana. Malah, projek tersebut dihentikan pada tahun 2017.
Kesannya, risiko bekalan air akan berlanjutan dalam masa terdekat. Terutama sekali, ia akan banyak bergantung kepada faktor taburan hujan pada bulan April dan Mei. Kebimbangan saya ialah taburan hujan juga tidak memuaskan lagi tahun ini, lalu menyebabkan catuan air terpaksa dilaksanakan semula pada akhir tahun ini atau tahun hadapan.
Maka saya menyeru kepada Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, supaya tidak leka dan terus mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah bekalan air ini. Secara khususnya, perkara-perkara berikut perlu diberikan perhatian sepenuhnya:
1. Projek Empangan Jernih: Kerja-kerja pembinaan sepatutnya bermula sejak Mac 2020 dan dijangkakan siap sekitar 2023. Projek ini mesti diteruskan dan dipantau dengan teliti supaya tidak tergendala lagi.
2. Langkah-langkah jangka masa pendek: Kerajaan yang baharu ini perlu proaktif untuk mencari dan mengambil langkah-langkah lain dalam jangka masa pendek, selain yang telah dirangka oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini. Setakat ini, belum ada langkah-langkah tambahan yang diumumkan.
3. Projek pembelian air tambahan dari Johor bernilai RM250 juta: Kerajaan yang baharu perlu mendapat pengesahan daripada Kementerian Kewangan mengenai projek infrastruktur untuk membolehkan air tambahan dibeli daripada Johor. Perkara ini telah dipersetujui oleh mantan Ketua Menteri, Adly Zahari, dan mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebelum berlakukan pertukaran kerajaan.
4. Ketelusan dan penyaluran maklumat: Kerajaan negeri wajar menyampai informasi mengenai status bekalan air secara berterusan dan pantas. Ini adalah penting supaya rakyat dan pihak industri dapat membuat perancangan mereka tersendiri.
Pada masa yang sama saya menyeru kepada para penduduk di Melaka untuk terus berjimat-cermat dalam penggunaan air. Hargai air, elakkan pembaziran.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka

