Catuan air di Melaka telah dilaksanakan sejak 29 Januari 2020. Langkah tersebut dilakukan kerana paras air di empangan yang terlalu rendah.
Pada asalnya, catuan air dijadualkan berlangsung sehingga hujung bulan Mac 2020.
Saya maklum bahawa ramai yang telah mohon supaya catuan air dihentikan kerana kita sedang mengharungi isu Covid-19.
Untuk saya, sama ada catuan air boleh dihentikan bergantung kepada status dan keadaan bekalan air terkini.
Maka saya menyeru kepada Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, supaya memberi maklumat/status terkini tentang bekalan air di Melaka. Khususnya:
(1) Bagaimanakah keadaan paras air di empangan sekarang? Berapakah peratus air yang masih ada?
(2) Adakah catuan air dijangkakan akan berlanjutan sehingga bulan April?
(3) Apakah langkah-langkah jangka masa pendek lain yang telah diambil oleh kerajaan yang baharu ini, selain yang telah dirangka oleh kerajaan PH sebelum ini?
Perkara ini adalah penting supaya orang ramai, termasuk pihak industri, boleh membuat perancangan. Ketelusan dan penyaluran maklumat dengan pantas adalah aspek pentadbiran kerajaan yang amat penting.

