Najib Razak harus memberi penjelasan mengapa jemaah menteri membatalkan projek Empangan Jernih pada tahun 2017 walaupun ia adalah mustahak

Ketika melawat ke Melaka pada hujung minggu yang lepas, Najib Razak telah dilaporkan berucap mengenai isu air Melaka di mana kerajaan Pakatan Harapan telah dipersalahkan.

Ya, Melaka sedang mengalami catuan air, tetapi Najib Razak tidak layak untuk memberi komen dalam isu ini kerana Najib dan jemaah menterinya yang telah membatalkan projek Empangan Jernih pada tahun 2017. Keputusan ini telah mendedahkan rakyat dan sektor industry di Melaka terhadap risiko kekurangan air.

Saya tidak berminat untuk menyalahkan kerajaan yang lalu dalam isu air ini, tetapi adalah penting untuk menyatakan fakta-fakta dalam isu ini secara terbuka supaya orang ramai boleh memahami isu tersebut dengan lebih mendalam dan menyeluruh.

Semenjak tahun 2006 lagi, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan kerajaan negeri telah menyatakan bahawa empangan baru diperlukan di Melaka untuk memenuhi permintaan air masa hadapan. Ini kemudiannya membawa kepada projek Empangan Jernih pada tahun 2012, tetapi ia tidak disiapkan pada zaman kerajaan yang lalu.

Pada tahun 2016, bekas ketua menteri, Idris Haron, menyatakan bahawa Empangan Jernih mesti disiapkan dalam tempoh dua tahun untuk mengelakkan krisis air.

Tetapi, Najib Razak dan kerajaan pimpinannya bukan sahaja tidak mengendahkan amaran tersebut, malah telah membatalkan projek Empangan Jernih pada tahun 2017. Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang lepas telah gagal untuk merancang untuk kemapanan dan jangka masa panjang sumber air Melaka.

Apabila PH mengambil alih kerajaan pada tahun 2018, saya dengan serta merta telah menyusun suatu mesyuarat di parlimen untuk membincangkan projek Empangan Jernih. Mesyuarat tersebut melibatkan SAMB, kerajaan negeri, dan kerajaan persekutuan.

Hasilnya amat positif kerana semua pihak bersetuju untuk meneruskan Empangan Jernih memandangkan ia amat diperlukan. Sekarang, projek tersebut sedang berlangsung dan dijangka siap menjelang 2023.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri sudah tentu tidak tunggu projek tersebut siap sahaja. Sejak 2019, pelbagai langkah jangka masa pendek dan jangka masa sederhana telah diambil untuk sumber air kita. Contohnya, kita telah meningkatkan jumlah air yang dibeli daripada Johor, mengepamkan air dari tasik dan kolam-kolam, dan menjalankan operasi pembenihan awan.

Akan tetapi musim kering pada tahun 2018 dan 2019 telah menjadikan keadaan sedia ada lebih tenat lagi. Purata hujang pada tahun lalu adalah yang terendah sekali dalam jangka masa 10 tahun yang lepas. Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan terus mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan isu air ini secepat mungkin.