Hospital Besar Melaka bakal menerima 5 mesin dan 10 kerusi hemodialisis yang baharu untuk meningkatkan perkhidmatan kepada para pesakit buah pinggang.
Peralatan hemodialisis tersebut akan disumbangkan oleh ahli parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong, atas permohonan pihak Hospital Besar Melaka.

“Saya dimaklumkan bahawa Hospital Besar Melaka mempunyai 18 mesin hemodialisis, tetapi kebanyakan daripada mesin tersebut sudah digunakan melebihi 10 tahun,” jelas beliau ketika mengadakan lawatan kerja ke hospital tersebut.
YB Khoo turut menjelaskan bahawa harga satu mesin hemodialisis adalah sebanyak RM40,000, manakala kerusi hemodialisis pula berharga RM2,000 setiap unit. Maka, jumlah kos untuk sumbangan ini adalah RM220,000.

“Kesihatan merupakan salah satu aspek yang sangat penting untuk semua orang. Maka, saya berharap mesin dan kerusi hemodialisis yang baharu ini dapat membolehkan para doktor merawat pesakit-pesakit dengan lebih berkesan,” tambah beliau.
Turut bersama dalam lawatan ke Hospital Besar Melaka ialah YB Low Chee Leong, EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka.

