Tarikh:
19 November 2020
Soalan:
Tuan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan yang diterima untuk Geran Khas Prihatin 2.0 dan apakah sebab-sebab utama permohonan yang tidak berjaya, ditolak.
Jawapan:
Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Melaka, Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) telah dibuka semula di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN). GKP 2.0 merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini. Ia bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak COVID-19. Di samping itu bantuan ini bermatlamat meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro. Di bawah GKP asal yang diumumkan sebelum ini, lebih seramai 545,000 orang peniaga mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 bilion.
Untuk makluman Yang Berhormat, tempoh permohonan GKP 2.0 telah dibuka antara 1 hingga 31 Oktober 2020 lepas. Permohonan yang telah diterima daripada PKS mikro oleh LHDN adalah berjumlah lebih 512,000. Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kelangsungan perniagaan mereka, setiap permohonan akan disemak silang atau verifikasi dengan data agensi yang ditetapkan kerajaan termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan. Berdasarkan jangkaan awal, bilangan yang akan diluluskan jauh melebihi daripada sasaran awal yang ditetapkan iaitu seramai 200,000 PKS mikro. Adalah disasarkan bahawa PKS mikro yang telah memohon untuk GKP 2.0 boleh menyemak status kelulusan melalui 27 November. Manakala, tarikh pembayaran pula dijangka mulai 30 November.
Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat juga sebilangan permohonan yang tidak akan diluluskan GKP 2.0. Antara sebab utama adalah tidak memenuhi syarat iaitu memegang lesen daripada pihak berkuasa tempatan atau tidak terdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Selain itu, antara sebab adalah tidak memenuhi kriteria PKS mikro iaitu dengan bilangan pekerja melebihi seramai lima orang. Kerajaan amat prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya termasuk PKS mikro. Oleh itu, GKP 2.0 ini merupakan komitmen berterusan kerajaan.
Terima kasih.

