PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan usaha-usaha Kementerian untuk merombak kurikulum pendidikan sekolah sejajar dengan perkembangan semasa dalam usaha mempersiapkan murid-murid Malaysia untuk mendepani cabaran globalisasi di samping menyediakan sumber tenaga kerja berkualiti tinggi pada masa hadapan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam memastikan kurikulum yang dibangunkan adalah relevan dan berkualiti serta sejajar dengan perkembangan semasa dan akan datang. Bagi memastikan kualiti kurikulum yang bersesuaian dengan keperluan masa hadapan, pelbagai rujukan kajian, literatur dan libat urus untuk melihat trend pendidikan luar negara dan keperluan industri pasaran kerja telah dilaksanakan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, usaha ini dilaksanakan demi merealisasikan hasrat membangunkan kurikulum yang mempersiapkan murid untuk mendepani cabaran globalisasi di samping menyediakan sumber tenaga kerja yang berkualiti tinggi pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Kurikulum Persekolahan 2027 dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi bertujuan melahirkan murid yang berpengetahuan dan berkemahiran serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualit. Antara usaha-usaha yang dicadangkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 adalah seperti yang berikut:
i. Matlamat Kurikulum Persekolahan 2027
Kurikulum Persekolahan 2027 bermatlamat melahirkan insan sejahtera yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek, sentiasa membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, menghargai perpaduan dan keharmonian kaum, menghormati kepelbagaian serta mampu membangunkan hubungan sosial yang sihat dalam lingkungan kehidupan. Individu ini seterusnya, akan menjadi warganegara yang beradab, bertanggungjawab dan berdaya saing pada peringkat global.
ii. Reka Bentuk Kurikulum Persekolahan 2027
Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 mencadangkan tujuh kompetensi yang disampaikan melalui kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Tujuh kompetensi tersebut adalah Perkembangan Diri, Komunikasi, Tanggungjawab, Fasih Digital, Literasi Pelbagai Kemahiran Berfikir dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
iii. Fokus Kurikulum dan Penyusunan Tahap Persekolahan di Sekolah Rendah
Tahap persekolahan dan fokus kurikulum perlu disusun semula bagi memudahkan guru memberi fokus pembelajaran sejajar dengan kematangan usia murid. Untuk itu, pendidikan rendah akan dibahagikan kepada tiga tahap. Pembahagian ini merupakan suatu pendekatan baharu bagi kejelasan fungsi fokus utama pembelajaran.
iv. Pembentukan Karakter
Pembentukan karakter yang dihasratkan adalah berteraskan kepada prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pembentukan ini bertujuan untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang sejahtera melalui kurikulum yang terancang dan berstruktur. Pembentukan karakter ini memberi penekanan kepada pembangunan diri murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik yang tinggi, dan mempunyai growth mindset atau mentaliti pertumbuhan.
v. Literasi dan Numerasi
KPM juga komited dalam memastikan murid menguasai literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal yang mungkin bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya. Kegagalan untuk menguasai kemahiran asas ini akan mengekang murid daripada merealisasikan potensi mereka. Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke Tahap II dan Tahap III.
vi. Pembelajaran Bersepadu
Untuk memberikan makna bagi menjelmakan pendidikan bersepadu dalam pengalaman persekolahan, satu slot khusus akan diperuntukkan bagi Pembelajaran Bersepadu yang juga akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah. Pembelajaran Bersepadu ini merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu. Murid akan belajar mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam satu pengalaman pembelajaran yang holistik, bermakna, relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar. Maka, pentaksiran akan dilaksanakan secara berterusan sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran.
vii. Kaedah Pentaksiran
Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah. Pentaksiran Bilik Darjah bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid. Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi. Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata. Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid.
Sekian, terima kasih.

