PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS (2022)
PERTANYAAN : BUKAN LISAN (BERTULIS)
DARIPADA : YB TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG ( KOTA MELAKA ) minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan :-
(a) sama ada Kerajaan bercadang untuk meminda akta-akta berkaitan dengan dadah untuk mengetatkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah; dan
(b) adakah Kerajaan akan menerima pakai prinsip “decriminalising drug” untuk mengatasi masalah dadah di Malaysia.
JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) amat memandang serius isu penyalahgunaan dan penagihan dadah di negara kita. Bagi memastikan perudangan semasa terus releven, Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang yang telah dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 21 Julai 2020 bersetuju bahawa suatu dasar pengalihan penyalahguna dadah dari hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah perlu dilaksanakan. Tujuan utama dasar pengalihan penyalahguna dadah ini adalah untuk meningkatkan akses bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah untuk mereka yang memerlukannya supaya dapat kembali kepada masyarakat. Mesyuarat juga bersetuju supaya dasar pengalihan ini diperhalusi dalam Akta baharu yang dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Akta baharu ini kelak akan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan tersusun bagi membolehkan penyalah guna dan penagih dadah serta bahan dapat menerima rawatan dan pemulihan dengan sewajarnya di dalam institusi atau komuniti.
Berhubung isu pengedaran dadah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat penilaian dan merangka pendekatan baru dalam membendung aktiviti pengedaran dadah termasuk menggunakan strategi 5M iaitu i) menentang penyeludupan dadah; ii) menyekat penawaran dadah; iii) memperhebatkan jaringan nasional dan antarabangsa; iv) memperkukuh dan meningkatkan pelaksanaan pelucuthakan harta; dan v) menjadi rakan kepada rehabilitasi. Selain itu, pihak PDRM turut menjalankan ‘Operasi Ice Breaker’ bermula pada pertengahan tahun 2019 dan ‘Operasi Damn Tokan’ bagi menggempur rangkaian pengedaran dadah secara agresif.

