PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG [ KOTA MELAKA ] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak Julai 2019 untuk melaksanakan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun (UNDI18) dan pendaftaran pengundi automatik, dan apakah halangan-halangan lain yang masih memerlukan penyelesaian.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dalam persiapan untuk melaksanakan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu berhubung umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik sebagaimana yang diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas.
Persiapan yang sedang dilaksanakan oleh SPR ini adalah meliputi pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan standard operating procedures (SOP) dan penyediaan sistem serta infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Di samping itu, SPR juga telah mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan sebelum pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik. Antaranya ialah membuat semakan maklumat bakal pemilih, semakan di lapangan yang melibatkan bakal pengundi berumur 90 tahun dan ke atas, semakan di lapangan ke atas alamat untuk memastikan penentuan
bahagian pilihan raya yang tepat, sesi libat urus dengan semua pihakpihak yang berkepentingan, program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih dan menyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang.
SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan termasuklah menangani isu-isu yang berkaitan ini akan dapat diselesaikan dan seterusnya melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada September 2022.
Namun demikian, keputusan semakan kehakiman isu Undi 18 di Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan supaya umur kelayakan
pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021.
Justeru, walaupun dengan kekangan dan kekurangan, SPR komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kepada keputusan mahkamah.
Sekian, terima kasih.

