PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan:
a) status terkini Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK); dan
b) apakah kriteria terkini yang digunakan ketika menetapkan aturan (queue) temu janji di kalangan mereka yang sudah berdaftar.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
a) Program Imunisasi COVID-19 pada 26 September 2021 telah mencapai sebanyak 93.7% populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala sebanyak 83.7% telah lengkap divaksin. Melihat kepada pencapaian ini, CITF optimis usaha PICK sedang berjalan mengikut landasan dan perancangan ditetapkan. Sebagai langkah mempercepatkan proses vaksinasi, pihak CITF melalui Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang telah berjaya memvaksinasi hampir 100% populasi dewasa. Tindakan selanjutnya adalah mop-up baki populasi yang belum divaksinasi di sekitar Lembah Klang. Sasaran berfokus yang terdekat adalah untuk memastikan semua negeri mencapai sekurangnya-kurangnya 60% dewasa lengkap divaksinasi sebelum penghujung bulan September 2021, yang mana data kini menunjukkan keseluruhan negeri telah melepasi nilai ambang tersebut kecuali negeri Sabah yang dijangka akan mencapai sasaran pada penghujung bulan September 2021. Melalui usaha ini, Kerajaan percaya sasaran peralihan Fasa melalui Pelan Pemulihan Negara dapat dicapai mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
b) Di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), MySejahtera memainkan peranan yang besar dalam penetapan janji temu bermula daripada:
i. pendaftaran untuk vaksinasi kepada pemberian janji temu;
ii. urusan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV);
iii. sijil digital vaksinasi; dan
iv. kesan sampingan yang dialami selepas vaksinasi, dalam bentuk pelaporan AEFI.
Walaupun ramai penerima vaksin telah berdaftar awal untuk vaksinasi, PICK masih bertumpu kepada pelaksanaan berfasa iaitu Fasa Pertama untuk petugas barisan hadapan dan sokongan mereka, Fasa Kedua untuk warga berisiko tinggi, komorbid dan OKU serta Fasa Ketiga untuk golongan dewasa yang lain bermula sekitar bulan Jun 2021.
Pelaksanaan fasa kawalan wabak pula adalah strategi untuk meningkatkan kadar vaksinasi di zon-zon wabak yang berkaitan. Berikutan bekalan vaksin diterima adalah terhad sepanjang bulan Februari hingga Julai, maka strategi pelaksanaan adalah untuk menyelesaikan golongan barisan hadapan dan berisiko tinggi terlebih dahulu sebelum beralih kepada golongan dewasa lain selanjutnya.
Sekian, terima kasih.


