PEMBERITAHUAN PERTANYAAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PERTANYAAN : BUKAN LISAN
DARIPADA : TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]
SOALAN
TUAN KHOO POAY TIONG (KOTA MELAKA) minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan:
(a) jumlah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk tahun 2017- 2021 (secara berasingan), termasuk jumlah projek yang telah disiapkan, masih berlangsung, terbengkalai, dan dibatalkan; dan
(b) apakah status projek PPR Klebang di negeri Melaka yang sepatutnya siap dibina pada Oktober 2018.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, secara keseluruhannya terdapat 154 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang telah siap dibina sejak tahun 1982 yang merangkumi 97,196 unit. Bagi tempoh 2017 hingga kini, sebanyak 15,738 unit telah siap dibina, 9,862 unit dalam pembinaan dan 2,893 unit dalam perancangan di seluruh negara.
Jumlah projek yang dibatalkan sehingga kini adalah sebanyak 24 projek disebabkan oleh tapak yang kurang sesuai untuk pembangunan PPR, kos naik taraf infrastruktur yang berlebihan, dan tiada permintaan untuk rumah kos rendah di kawasan tersebut.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, projek yang dibatalkan akan ditukarkan ke lokasi atau negeri lain yang mempunyai keperluan perumahan untuk golongan B40 yang lebih mendesak. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan projek PPR Pulau Gadong, Klebang, Melaka merupakan projek yang diluluskan di bawah RMKe-11. Projek ini melibatkan pembangunan 255 unit rumah pangsa berbilang tingkat berserta kemudahan telah dimulakan pada 15 Februari 2016. Walau bagaimanapun, kontraktor asal bagi projek ini telah gagal melaksanakan kerja-kerja di tapak seperti mana yang telah dijadualkan dan kontrak telah ditamatkan melalui Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor bertarikh 1 September 2020.
Prestasi kemajuan kerja fizikal semasa penamatan kontrak adalah 90%. Pada masa ini, projek masih dalam fasa perolehan melantik kontraktor penyiap dengan jangkaan Surat Setuju Terima (SST) pada 14 Februari 2022.
Sekian, terima kasih.

